top of page
  • Wartawan Nabalu News

PEKADIN SAMBUT BAIK PENGWUJUDAN BUKU TEKS DIGITAL



14 Jan 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) menyambut baik inisiatif Agensi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Perbadanan Kota Buku (PKB) untuk membangunkan aplikasi “KPM eTextbook Reader” .


Sambil menyifatkannya sebagai langkah bijak dan wajar disokong oleh semua pihak, Naib Presidennya Timah Dusip berkata ia diyakini dapat memudahkan murid mendapatkan buku teks sekolah secara digital.


Katanya ia pasti memberi manfaat kepada murid sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar terutama yang mempunyai liputan jalur lebar atau internet yang baik.


Beliau berkata memandangkan wabak Covid-19 masih berterusan yang menyukar dan menjejaskan sesi pembelajaran bersemuka, kemudahan buku teks secara digital dijangka mempermudahkan murid daripada segi sumber rujukan.


“Pekadin sentiasa menyokong usaha ke arah memacu bidang pendidikan di negara ini termasuk mempermudahkan murid n pelajar memperolehi sumber rujukan secara digital,” katanya.


Bagaimanapun, Timah berkata pelbagai cabaran yang mungkin dihadapi dalam melaksanakan program buku teks sekolah secara digital.


Katanya ini termasuk ketiadaan kemudahan internet di kawasan tertentu di luar bandar atau kawasan terpencil.


“Di samping itu, ada juga murid yang tidak mampu membeli telepon bimbit untuk membolehkan mereka dapat akses buku teks secara digital,” katanya.


Oleh itu, Pekadin berharap agar kerajaaan dapat memberi perhatian serius untuk memperluaskan kemudahan jalur lebar di negeri demi kebaikan bersama.


KPM mengeluarkan kenyataan berhubung aplikasi itu yang sekali gus memberi akses buku teks sekolah secara digital kepada murid yang akan memulakan sesi persekolahan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Jan.


KPM eTextbook Reader membantu murid-murid memuat turun buku teks digital melalui penyediaan piawaian fail EPUB iaitu format fail standard terbuka untuk buku digital yang lebih ringan dan serasi dengan peranti mudah alih.


“Aplikasi boleh didapati secara percuma melalui laman sesawang www.textbook.moe.gov.my atau boleh terus dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store dengan carian KPM eTextbook Reader,” menurut KPM.

Comments


bottom of page