PELADANG RAYU KERAJAAN BERI PERTIMBANGAN SEWAJARNYA PELADANG RAYU KERAJAAN BERI PERTIMBANGAN SEWAJARNYA
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PELADANG RAYU KERAJAAN BERI PERTIMBANGAN SEWAJARNYA


Benny

9 Mac 2021


KOTA KINABALU: Para peladang kawasan Inanam khususnya luar bandar yang tanah mereka masih berstatus Permohonan Tanah (LA) merayu agar diberikan perhatian sewajarnya.


Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Inanam Benny Franklin Hartheman berkata, keadaan itu sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi kawasan setempat.



Katanya, masih banyak status LA di kawasan seliaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Inanam.


"Inilah masalah utama yang dihadapi oleh peladang luar bandar, sebagai contoh, sekiranya ingin memohon bantuan kerajaan untuk mengusahakan tanaman jangka panjang seperti bibit Durian, tanah Status LA tidak layak memohon.


"Bagi tanaman padi bukit dan sawah, sekiranya status tanah masih berstatus LA, permohonan bagi Bantuan Subsidi Padi untuk pendaftaran pertama kali perlu membayar kos RM 50 untuk pengesahan geran tanah LA," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Benny menjelaskan masalah berkenaan sangat merumitkan golongan petani dan sukar untuk keluar ke bandar. Statistik Permohonan Bantuan Subsidi Padi di PPK INANAM juga semakin berkurang dari tahun ke tahun.


Tambahnya, masih terdapat banyak jalan pertanian yang diperbaiki bagi memudahkan pergerakan para peladang.



"Ia bagi memastikan pemasaran hasil-hasil pertanian dapat dipasarkan segera, tanpa merosakan hasil pertanian semasa perjalanan.


"Isu air juga menjadi masalah yang mana terdapat petani dibeberapa kampung pergunungan yang mengeluh kerana faktor kesukaran untuk menyiram tanaman.


"Ini juga disebabkan faktor geografi kerana kampung tersebut terletak diatas bukit Kokol dimana tiada bekalan air mencukupi," jelasnya sambil berharap kerajaan akan terus membantu golongan peladang PPK Inanam.


Katanya, ahli PPK Inanam juga mahu kerajaan terus membantu petani-petani yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menyelesaikan isu-isu berkaitan masalah yang dihadapi oleh mereka


Jelasnya, dalam tempoh PKP, barisan Ahli Jemaah Pengarah PPK Inanam berusaha untuk mencari inisiatif bagi meningkatkan ekonomi ahli peladang.


Baru-baru ini katanya, program kempen menanam kopi telah dilancarkan bagi mempelbagaikan sumber ekonomi ahli peladang.


"Selain itu, bantuan bakul makanan juga diagihkan kepada ahli peladang yang terjejas akibat banjir dan PKP untuk bertahan semasa situasi sukar pada masa ini," katanya.


bottom of page