top of page

Pelajar IPT dibenarkan kembali ke kampus mulai 15 Okt

Wartawan Nabalu News

14 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PUJTRAJAYA: Pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat bermula 15 Okt ini.


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kemasukan pelajar yang lengkap divaksin itu melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dimana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.


“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira input sesi libat urus antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), pengurusan IPT, wakil-wakil persatuan IPTS; serta Majlis Perwakilan Pelajar dan wakil Kesatuan serta Persatuan Pelajar,” beliau berkata di dalam satu siding media pada hari ini.


Beliau juga mengumumkan bahawa pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di University Awam (UA) bagi Semester 1 Sesi 2021/2022 yang bakal memanfaatkan seramai 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan RM175 juta.


Noraini juga menegaskan bahawa hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan telah melepasi tempoh keberkesanan vaksin sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus.


Tambahnya kemasukan pelajar ini tertakluk kepada kapasiti IPT tersebut, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Pendidikan yang ditetapkan.


“Ini merupakan satu langkah bagi membentuk persekitaran yang selamat dan herd immunity di kampus,” katanya.


Noraini berkata, bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.


“IPT juga perlu membuat perancangan teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga IPT melalui proses saringan kesihatan ketat.


“Bagi IPT di Semenanjung, hanya surat kebenaran kembali ke kampus diperlukan. Sementara, bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan pula, ia tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan kerajaan negeri masing-masing.


“Iaitu mereka perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah dan negeri daripada Polis Diraja Malaysia dan menjalani Ujian Swab RT-PCR. Ujian ini akan diberikan secara percuma di klinik kesihatan kerajaan,” tambahnya.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page