top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelajar, kakitangan UMS diminta berwaspada dengan cuaca tidak menentu


14 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan menghindari aktiviti berisiko dalam keadaan cuaca tidak menentu.


Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, berkata kakitangan dan pelajar perlu sentiasa peka dengan situasi semasa bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.


“Pada ketika ini hujan lebat disertai ribut petir sering berlaku pada sebelah petang mengakibatkan jalan-jalan utama menjadi licin bahkan ada yang hingga menyebabkan beberapa kawasan turut dinaiki air.


“Seboleh-bolehnya elakkan terlebih dahulu dengan aktiviti di kawasan berhampiran sungai, kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya tanah runtuh atau lain-lain tempat yang berisiko,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor.

Dr. Kasim turut menasihatkan agar kakitangan dan pelajar yang tinggal di luar kampus untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menggunakan jalan raya.


“Untuk makluman, kakitangan UMS datangnya dari pelbagai daerah dan ada yang berulang alik sehinga dua jam perjalanan setiap hari.


“Malam tadi, kawasan Penampang, Inanam, Kiulu dan beberapa lokasi yang lain dilaporkan terjejas akibat banjir dan juga tanah runtuh.


“Justeru, sekiranya terdapat kakitangan yang mengalami hal-hal kecemasan, sila berhubung dengan ketua jabatan masing-masing. Pada waktu sebegini, keselamatan adalah keutamaan bersama,” katanya.


Bagi para pelajar, beliau berpesan agar kesemua mereka turut sentiasa berhati-hati dan berwaspada.


“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, pelbagai perkara di luar jangka boleh berlaku tanpa disangka-sangka.


“Kebetulan pada masa ini juga merupakan peperiksaan akhir semester 2022/2023. Sekiranya ada pelajar-pelajar yang dilanda musibah, sila hubungi universiti sama ada pensyarah, pengurusan fakulti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS.


“Pihak universiti akan sentiasa berusaha membantu kebajikan para pelajar di samping memastikan tidak ada yang tercicir daripada mengikuti peperiksaan akibat dilanda musibah,” jelasnya.


Untuk rekod, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) pada Isnin mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah dan Sarawak sehingga Jumaat ini.


Ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang turut dijangka berlaku di pedalaman dan barat Sabah pada sebelah petang dan malam sehingga Rabu.


Comments


bottom of page