PELAJAR MASUK ASRAMA 1 MAC TIDAK PERLU UJIAN SARINGAN COVID: MASIDI
22 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Murid yang akan kembali bersekolah dan ke asrama pada 1 Mac ini tidak perlu menjalani ujian swab memadai dengan menjalankan penilaian risiko sebelum memasuki kawasan sekolah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan murid.
“Ini bagi memastikan para pelajar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang masa berada di sekolah atau asrama,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelajar yang akan masuk sekolah dan asrama perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mengelak penularan berlaku di sekolah apabila sekolah dibuka semula pada 1 Mac ini.
Mengenai jumlah pelajar SPM dan STPM/ Vokasional yang menduduki peperiksaan di Pusat Kuarantin, hospital atau rumah sendiri disebabkan faktor jangkitan Covid-19 atau dikategorikan sebagai PUI, Masidi berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah memaklumkan buat masa ini rekod yang ada tidak lengkap dan hanya untuk kegunaan dalaman sahaja.
“Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan murid agar sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan sepanjang masa berada di sekolah,” katanya.
Comments