top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Pelajar UMS belum divaksin diminta dapatkan suntikan segera


Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin

7 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin mengingatkan para pelajar universiti itu yang belum menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.


Beliau berkata, ini penting bagi memberikan perlindungan untuk diri sendiri, ahli keluarga dan juga masyarakat.


“Semoga dengan ikhtiar ini kita dapat beralih ke fasa Endemik seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia dan mula beradaptasi hidup bersama virus Covid-19 serta menjalani kehidupan seperti sedia kala.


“Sehingga hari ini, kadar vaksinasi kakitangan UMS telah mencapai 95 peratus, manakala pelajar UMS telah melebihi 80 peratus,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sesi Bersama Naib Canselor dan Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2021/2022 secara maya, hari ini.


Dr.Taufiq berkata, pihak UMS dalam fasa ini sedang menguatkuasakan keperluan melengkapkan dua dos Vaksin Covid-19 untuk memasuki kampus dan berurusan dalam premis Universiti.


Katanya, ini selaras dengan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi berhubung Pengoperasian Institusi Pendidikan Tinggi. Ia dilakukan demi memastikan pihak universiti menyediakan persekitaran yang selamat untuk warganya.


“Oleh itu, sama-sama kita jalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan kepada usaha vaksinasi yang dijalankan sehingga hari ini dengan mengambil vaksin di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin berdekatan,” katanya.


Dalam minggu MSM beliau turut menasihati para pelajar supaya mengambil tanggungjawab semasa dalam pengajian di universiti dan meraikan kepelbagaian dan perbezaan.


“Kita datang dari latar belakang etnik, budaya, kepercayaan yang berbeza. Kehadiran kita dalam kepelbagaian ini memberikan kita peluang untuk memahami dan mendalami budaya serta adat masing-masing.


“Keluarga Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian ini merupakan satu keistimewaan dan kelebihan yang masih kita hormati, bertoleransi, diterima dan diraikan bersama.


“Masyarakat di Sabah terbentuk dengan wujudnya ciri-ciri ini. Kita mestilah belajar untuk hidup dalam kepelbagaian ini kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya.





bottom of page