Pelaksanaan Penuh Perintah Gaji Minimum RM1,700 Berkuat Kuasa 1 Ogos
- nabalunews
- Jul 22, 2025
- 2 min read

22 Julai 2025
PUTRAJAYA: Pelaksanaan sepenuhnya Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Ogos ini kepada semua majikan di seluruh negara tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, majikan perlu menyemak semula struktur gaji syarikat bagi memastikan tiada pekerja menerima gaji pokok bawah kadar minimum ditetapkan.
Katanya, sebelum ini kadar baharu berkenaan diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan dilaksanakan 1 Feb lalu untuk majikan mempunyai lima pekerja ke atas serta bagi majikan yang menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah 'Malaysia Standard Classification of Occupations' (MASCO) 2020.
“Bermula 1 Ogos 2025 semua majikan tanpa pengecualian, termasuk mereka yang sebelum ini menikmati tempoh penangguhan perlu mematuhi perintah gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan.
“Ini termasuk untuk pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak terpakai kepada pekhidmat domestik” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut KESUMA, semua majikan diwajibkan mematuhi kadar minimum ini bagi memastikan hak pekerja dilindungi selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
KESUMA menegaskan kegagalan mematuhi perintah gaji minimum adalah satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
“Sekiranya disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, denda tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan dan bagi kesalahan berulang denda maksimum boleh mencecah RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya.
Selain itu katanya, majikan juga perlu membuat penyesuaian operasi secara progresif dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan pelaburan dalam latihan kemahiran pekerja.
Dalam pada itu, KESUMA turut menggalakkan majikan untuk memanfaatkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada pelaksanaan gaji minimum.
“Menerusi DGP, majikan berpeluang meningkatkan pendapatan pekerja berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, sambil menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan.
“Ini bukan sahaja membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi, malah turut mengukuhkan daya saing jangka panjang dalam pasaran buruh yang semakin mencabar," katanya.
Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai pelaksanaan perintah gaji minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara atau melalui laman rasmi Kementerian Sumber Manusia.















Comments