Wartawan Nabalu News
‘Pelancongan sukarelawan’, Nazri Aziz dibidas netizen
20 Jun 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Cadangan Ahli parlimen Padang Rengas yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa situasi banjir tahunan di negara ini boleh dijadikan sebagai peluang mempromosikan ‘pelancongan kesukarelawan’ menerima kritikan pelbagai pihak.
Menurut para netizen, walaupun cadangan itu boleh dianggap sebagai idea ‘diluar kotak pemikiran’ namun ia tidak masuk akal, tidak dapat diterima dan agak ‘lucu’.
Presiden Muda yang juga Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman mengkritik kenyataan Nazri: ”Risau saya bila dengar banjir tahunan boleh dijadikan peluang untuk pelancongan sukarelawan (volunteer tourism) dekat negara kita”.
“Banjir nasional tahun ini saja seramai lebih 40 orang terkorban dan RM6.5 billion kita alami kerugian. Takkan kita rela korbankan 40 orang dan rugi RM6.5 billion setiap tahun semata-mata kita ada peluang untuk promosikan pelancongan sukarelawan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.
Syed Saddiq berkata, sepatutnya usaha perlu dilakukan bagi menangani masalah banjir yang menyebabkan kemusnahan dan kehilangan nyawa.
"Patutnya ada langkah pragmatik untuk tangani banjir bukan nak galakkan lagi banjir,” katanya.
Beliau berkata, adalah lebih baik pelancong melawat negara ini menikmati tempat-tempat menarik tanpa perlu menyaksikan sebarang bencana alam.
“Kalau dah bencana, kedai sana-sini tutup, jalan sana-sini tutup, akhirnya duduk sajalah dekat hotel tengok banjir dari tingkap bilik,” katanya.
Sementara itu seorang sukarelawan Fauziah Kudus berkata, kejadian banjir bukan sahaja merosakkan harta benda tetapi turut menjejaskan emosi, tekanan, kesusahan dan kesedihan kepada mangsa banjir dan juga sukarelawan yang terlibat.
“Sebagai sukarelawan yang terlibat membantu mangsa banjir, saya rasa kenyataan ‘boleh dijadikan tarikan pelancongan sukarelawan bagi menjana ekonomi dan pelaburan’ itu agak lucu.
“Bagaimana boleh menjana ekonomi sedangkan mangsa-mangsa banjir yang sedang mengharungi kesusahan sangat tertekan … bayangkan, banyak harta benda mereka rosak, mereka berhadapan dengan kesusahan, apatah lagi sekiranya agensi berkenaan lambat bertindak menyelamatkan mereka.
“Oleh itu, Ahli parlimen Padang Rengas itu perlu memberi perincian cadangannya agar jelas dan difahami oleh semua pihak supaya tidak disalah tafsir,” katanya yang juga Ketua Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Beluran.
Seorang lagi netizen berkata, kejadian banjir tidak seharusnya dijadikan keuntungan pelancongan kerana bencana alam itu umpama ‘neraka’ bagi rakyat yang terjejas teruk akibat banjir.
“Kenyataan itu ‘kurang empati’ terhadap penderitaan mangsa banjir yang bukan sahaja kemusnahan harta benda tetapi ada yang kehilangan ahli keluarga.
“Pelancong datang melancong di sesuatu tempat atau negara untuk melihat keindahan alam sekitar bukannya melihat malapetak. Kecuali memang tujuan mereka datang untuk membantu mangsa banjir.
“Tetapi di negara ini pun ramai sukarelawan yang boleh membantu mangsa banjir, apa yang penting sokongan dan kerjasama daripada semua jabatan dan agensi berkenaan agar bertindak pantas membantu rakyat yang terjejas banjir,” katanya.
Dalam portal bahasa Inggeris, Sinar Daily baru-baru ini memetik Nazri sebagai berkata, dengan perancangan betul, banjir tahunan berpotensi menjadi “tarikan pelancongan” dan Malaysia harus mencari peluang mempromosikan “pelancongan kesukarelawanan”.
Nazri dipetik sebagai berkata: “Mungkin kita boleh mengadakan pelancongan kesukarelawanan dengan orang ramai datang ke negara ini untuk membantu kita menghadapi banjir. Ia bukan sahaja untuk mereka datang ke sini berseronok, tetapi juga untuk mereka belajar,” katanya.
Comments