PELBAGAI PIHAK SAMBUT BAIK KEPUTUSAN MAHKAMAH BENARKAN PENGANUT KRISTIAN GUNA PERKATAAN 'ALLAH'
- Wartawan Nabalu News
- Mar 12, 2021
- 2 min read

12 Mac 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Pelbagai pihak menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama itu untuk pendidikan dalam kalangan penganut agama Kristian.
Tiga perkataan lain yang turut dibenarkan kepada orang Kristian ialah Solat, Kaabah dan Baitullah.
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik keputusan mahkamah itu dan ia seharusnya diterima oleh semua pihak.
Dalam kenyataan bersama Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin dan Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata keputusan Mahkamah Tinggu itu akhirnya meredakan isu larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan buku untuk agama Kristian di negara ini yang telah berlanjutan sejak sekian lama.

“Isu ini menjadi perhatian ramai rakyat Malaysia dan telah menimbulkan kontroversi serta perdebatan selama bertahun-tahun.
“Apa yang menyedihkan ialah isu ini telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai sesuatu yang menyentuh sensitiviti dan hak-hak kaum serta agama yang mana sebenarnya lebih bersifat undang-undang dan isu perlembagaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut mereka, keputusan itu juga menepati aspirasi rakyat Sabah yang mahu kebebasan beragama dilindungi .
“UPKO sentiasa berjuang untuk melindungi hak setiap rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.
“Kami percaya bahawa rasa hormat, toleransi dan belas kasihan merupakan amalan murni masyarakat kita dan Malaysia akan lebih maju apabila rakyat bersatu dalam hal ini,” katanya.
Menurut seorang pekerja swasta Arron Guramon, keputusan itu memberi kelegaan kepada seluruh penganut agama Kristian bukan sahaja di Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh Malaysia.

“Kami menggunakan perkataan Allah sejak dahulu lagi dan tidak pernah timbul masalah bagi penganut agama lain terutamanya Islam di Sabah,” katanya.
Beliau berkata ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan kepada individu atau komuniti untuk mengamalkan agama masing-masing.
“Kami menyebut perkataan ‘Allah’ sejak nenek moyang kami lagi dan ia sudah menjadi kebiasaan kami ketika berdoa, semasa misa dan juga dalam Kitab. Jadi ia bukan satu isu besar dalam kalangan umat Islam di sini kerana kami hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya
Sementara itu Rizoh Bosorong berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi.

“Keputusan ini membuktikan negara kita masih mengamalkan kebebasan beragama selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang memberi jaminan kebebasan beragama kepada rakyat Malaysia.
“Seperti yang diputuskan oleh Mahkamah, penggunaan kalimah Allah sama sekali tidak menganggu ketentaraman awam,” katanya.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, dalam penghakimannya, berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.
"Penggunaan perkataan itu tidak akan mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Nor Bee berkata perkataan itu juga boleh digunakan oleh masyarakat untuk tujuan pengajaran kerana telah digunakan lebih 400 tahun.
Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010 sebanyak 61.3 peratus rakyat Malaysia beragama Islam, 19.8 peratus menganuti agama Buddha dan 9.2 peratus beragama Kristian.















Comments