Pelupusan barang kes oleh IPD Sandakan
- nabalunews
- Aug 23, 2024
- 1 min read

23 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Sebanyak 184,770 bungkus rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM5,543,100 melibatkan 9 kes kontraban yang juga barang kes yang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dilupuskan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, hari ini.
Turut dilupuskan 504 unit mesin bitcoin, 12 monitor dan 150 peralatan melibatkan kes Bitcoin yang disiasat mengikut Seksyen 379 / 427 Kanun Keseksaan.
Manakala 7 unit enjin bot melibatkan 4 kes penyeludupan migran yang disiasat mengikut Seksyen 26J Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 juga dilupuskan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek, berkata, kesemua barang kes yang dilupuskan ini melibatkan kes dan rampasan yang dibuat pada tahun 2019 hingga Mei 2024 dan ia telah mendapat arahan pelupusan dari pihak mahkamah dan Timbalan Pendakwa Raya Sabah.
Fuad berkata demikian menerusi satu kenyataan media sejurus beliau menyempurnakan proses pelupusan barang kes itu di Kilang Barang Lusuh Astemewa Sdn Bhd, Batu 8, Sandakan, pagi tadi.
Proses pelupusan barang kes itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan, Ketua Bahagian Integriti, Pematuhan Standard IPD Sandakan, ASP Yunus Sahak dan pegawai-pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan
Barang kes itu dimusnahkan mengunakan jentera berat dan kemudian dibakar mengikut prosedur dan standard yang ditetapkan.
Comments