top of page

Pemandu bot pelancong dipenjara dan disebat

  • nabalunews
  • Feb 3
  • 1 min read

3 Februari 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seorang lelaki yang mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.


Tertuduh, Salleh Abd Halil, turut diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh hukuman pemenjaraan dan juga menjalani perintah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.


Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya terhadap tertuduh yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong di Pulau Mabul.


Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengakuan, pertuduhan, fakta kes dan hujahan kedua-dua pihak (tertuduh dan pendakwaraya).


Salleh didakwa melakukan perbuatan itu dengan membuat sentuhan anggota badannya terhadap mangsa dengan maksud seksual dalam kejadian di Balai Raya bersebelahan Masjid Nurul Hidayah Kg Bangau-Bangau, Semporna sekitar jam 8 malam pada 21 April tahun lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat, jika disabitkan kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa menunggu kelas bacaan Al-Quran bermula, apabila tertuduh mengangkat dan membawa mangsa ke balai raya di sebelah masjid sebelum melakukan perbuatan tersebut.


Pada masa yang sama, guru mengaji ada mencari mangsa untuk memulakan kelas Al-Quran termasuk menjenguk ke dalam balai raya, namun tidak melihat tertuduh dan mangsa memandangkan keadaan gelap.


Mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebaik pulang ke rumah.


Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khushri menjalankan pendakwaan, manakala, Salleh tidak diwakili peguam.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page