Marryan Razan
Pematuhan SOP: Kesedaran pemakaian pelitup muka masih rendah

29 Ogos 2021 Oleh Marryan Razan KOTA KINABALU: Masyarakat diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan serius khususnya dari aspek pemakaian pelitup muka dengan betul baik kepada individu yang belum vaksin mahupun yang telah menerima suntikan vaksin. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, berdasarkan pemantauan di lapangan mendapati ketidakpatuhan pemakaian pelitup muka dan kesedaran mematuhi SOP masih berada di tahap yang membimbangkan. Beliau berkata, ini berdasarkan peningkatan bilangan kompaun harian yang dikeluarkan pihak berkuasa terhadap individu yang tidak memakai pelitup muka. “Peranan dan tanggungjawab semua pihak amat diperlukan untuk menangani pandemik COVID-19 melalui pematuhan SOP yang ditetapkan demi keselamatan bersama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Masidi berkata, daripada 20 kompaun melanggar SOP Covid-19 yang dikeluarkan di seluruh Sabah pada hari ini, sembilan orang dikompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka. “Kesalahan-kesalahan lain ialah gagal mendaftar masuk premis, membawa penumpang berlebihan, aktiviti terlarang atau keluar masuk kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan keluar rumah tanpa alasan munasabah,” katanya.