top of page

Pembangunan infrastruktur luar bandar, BALB, BELB akan diteruskan: Tun Juhar

  • Writer: Marryan Razan
    Marryan Razan
  • Sep 21, 2021
  • 3 min read


21 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha meningkatkan infrastruktur luar bandar seperti jalan raya kampung dan lampu jalan kampung serta memperkasa pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin, Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).


Yang Di-Pertua Negeri Tun Juhar Haji Mahiruddin berkata, bagi menyokong usaha tersebut, kerajaan juga memulakan program baharu tahun ini iaitu Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.


“Sistem Profil Kampung Sabah yang telah tersedia, bukan sahaja dapat membantu kerajaan, bahkan dapat dimanfaatkan oleh setiap daerah dalam membuat perancangan pembangunan dengan lebih efisien,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan bersempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16, hari ini.


Tun Juhar berkata, pembasmian kemiskinan adalah antara agenda penting Kerajaan Negeri.


Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri akan berusaha agar program-program pembasmian kemiskinan, khususnya di kawasan luar bandar yang telah dirangka dalam RMK12, akan dapat dicapai sebagaimana yang telah dirancang.



“Usaha- usaha akan dipergiatkan lagi bagi membangunkan ekonomi, modal insan dan infrastruktur luar bandar bertujuan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan tersebut agar terkeluar dari kepompong kemiskinan.


“Pelbagai bantuan akan diberikan kepada masyarakat miskin di luar bandar. Ini termasuklah bimbingan dan latihan kemahiran untuk melahirkan usahawan luar bandar yang berjaya dan berdaya saing.


“Pusat-pusat latihan kemahiran usahawan akan dibina di daerah bagi membimbing usahawan luar bandar agar berupaya mengeluar dan memasarkan produk-produk mereka sendiri secara atas talian (online) selari dengan perkembangan ekonomi digital pada masa kini,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan inisiatif pemasangan Very Small Aperture Terminal (VSAT) di kawasan-kawasan terpencil di Sabah untuk melengkapi program penaiktarafan jalinan komunikasi.


Katanya, program itu melalui Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menyasarkan 90 peratus kadar liputan jalur lebar 4G di kawasan berpenduduk di Sabah menjelang akhir tahun 2022.


“Kerajaan Negeri juga sedang giat untuk menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak untuk menjayakan inisiatif Hala Tuju SMJ 1.0 berkaitan pembudayaan STEM serta kesalinghubungan dan pengupayaan digital,” katanya.


Tun Juhar berkata, seiring dengan Hala Tuju SMJ 1.0, usaha pemulihan hutan merupakan antara fokus pembangunan negeri Sabah.


Katanya, antara aktiviti pemulihan hutan termasuklah aktiviti silvikultur dan tanaman mengaya di kawasan hutan terosot di negeri ini akan dipergiatkan.


Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri komited untuk mempergiatkan aktiviti menanam sebanyak 8 juta pokok setahun dalam tempoh lima tahun ini.


“Pembangunan ladang hutan secara agresif juga akan dilaksanakan untuk menjamin bekalan kayu secara mampan selari dengan Pelan Transformasi Ladang Hutan yang sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri.


“Selain itu, Kerajaan Negeri akan menerokai potensi dan peluang-peluang penjanaan hasil baharu hutan melalui mekanisme seperti Pembayaran Perkhidmatan Ekosistem, Pembiayaan Konservasi, Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD Plus) serta Perdagangan Kredit Karbon,” katanya.


Tun Juhar berkata, bagi memperkasa pentadbiran tanah, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan perkhidmatan sistem pentadbiran tanah di negeri Sabah lebih efisien sejajar dengan Hala Tuju SMJ.


“Sistem Berkomputer Pembangunan Tanah (e-LaDev) telah mula digunakan pada tahun ini dengan permohonan bagi semua jenis urusan pembangunan tanah seperti Tukar Syarat Tanah, Pecah Bahagi Tanah, Pelanjutan Tempoh Pajakan dan Kebenaran Pindah Milik Tanah dilaksanakan secara atas talian serta diproses dengan lebih cepat secara digital.


“Teknologi Global Navigational Satellite System juga diguna pakai untuk menjadikan kerja-kerja pengukuran tanah kadester lebih cepat dan tepat.


“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberimilikan tanah Anak Negeri (Native Title) dan pewartaan Tanah Rizab untuk Perkampungan Anak Negeri,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page