top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembangunan keusahawanan di daerah kurang membangun sedang dipertingkatkan: Joachim


21 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian sedang giat berusaha untuk mempertingkatkan Pembangunan Keusahawanan khususnya di kawasan daerah-daerah yang kurang membangun di negeri ini.


Menterinya Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, antara inisiatif yang telah dijalankan oleh kementerian itu ialah Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah yang bertujuan untuk memperkenalkan produk buatan Usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah kepada masyarakat dan menggalakkan pengguna menyokong serta membeli barangan buatan Sabah.


Beliau berkata, sebanyak 17 program telah disusun sepanjang tahun 2022 bagi menjayakan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah dan merancakkan semula ekonomi domestik sekaligus mempertingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Sabah.

“Pada kempen ini juga, Kementerian saya melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) akan membuka empat lagi Pusat Produk IKS Sabah di daerah Keningau, Tuaran, Tawau dan Kota Marudu.


“Pembukaan pusat ini bertujuan menyediakan ruang bagi mengumpul, mempamer, mempromosi dan menjual produk keluaran tempatan dari seluruh daerah termasuk produk Usahawan Informal.


“Melalui program ini, usahawan baru boleh menghantar dan memasarkan produk mereka ke Pusat Produk IKS dan pihak DIDR akan mengenalpasti produk yang berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Arunarnsin Talib (Gum-Gum) yang bertanya adakah kerajaan bercadang memberikan Aspirasi Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) memenuhi Aspirasi Keluarga Malaysia dan RMK-12 dalam usaha melahirkan usahawan serta mempertingkatkan lagi keseimbangan ekonomi khususnya di daerah kurang membangun.


Dr. Joachim berkata, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam kalangan IKS, kementeriannya juga menyediakan beberapa bantuan kepada usahawan seperti Skim Pembiayaan Usahawan Bumiputera Sabah (SPUBS) melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Bantuan IKS (BAIKS) melalui DIDR.


“Kementerian juga membantu usahawan baharu yang mempunyai produk dan potensi dengan memberi bantuan dari segi rekabentuk pembungkusan baru termasuk logo, kandungan nutrisi, kod bar serta mencetak pembungkusan.

“Tujuan program ini adalah untuk membantu usahawan baru memasarkan produk mereka ke pasaraya tempatan seperti di Pasaraya Bataras dan Kedai Mesra Petronas. Program bantuan keusahawanan ini adalah sebagai pemangkin untuk menggalakkan agar lebih ramai masyarakat setempat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan sekaligus mewujudkan ekosistem yang holistik untuk pembangunan keusahawanan di negeri ini,” katanya.

Comments


bottom of page