Ilona Andrew
Pembayaran BPR Fasa 3 akan dikreditkan mulai 28 Sept - PM
26 Sept 2021
Oleh Ilona Andrew
KUALA LUMPUR: Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa 3 dan Rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 28 Sept hingga 30 Sept 2021, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.
Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.82 bilion untuk pembayaran tersebut.
Pembayaran ini akan memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan.
"Untuk fasa tiga ini, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima RM2,300 termasuk bayaran BPR tambahan di bawah PEMERKASA+ bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima mengikut kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak.
"Pembayaran ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.
"Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa terbela," kata Perdana Menteri itu.
Tambah Ismail Sabri, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak.
Pembayaran bantuan itu dijadual akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021.
"Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa Tiga ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan," ujarnya.
ความคิดเห็น