Pembeli terhimpit dengan kenaikan harga barang keperluan asas

4 Disember 2021
Oleh Ilona Andrew
KOTA KINABALU: Dengan keadaan ekonomi yang meruncing, dibebani pula dengan masalah bekalan air, jalan raya rosak, capaian internet lemah, keterbelakangan dari segi pembangunan, dan yang terbaru, kenaikan harga barang-barang keperluan asas… Apalah nasib Sabah tanah airku?
Itulah rintihan hati penduduk di Sabah yang bagai dihiris dengan sembilu apabila terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan asas seperti sayur-sayuran, daging ayam, dan telur.
Bagi mereka, ia seumpama mimpi ngeri yang tiada kehabisannya kerana terpaksa berdepan dengan perkara ini sedangkan kesan akibat pandemik Covid-19 masih segar terasa.
Baru-baru ini, Nabalu News mengadakan tinjauan di sekitar daerah Kota Kinabalu, Papar, Tamparuli, Kota Belud dan Kundasang untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung isu kenaikan harga barangan asas.

Apa yang didapati adalah berbanding barang makan lain, sayur-sayuran adalah antara yang paling mendadak naik harganya.
Dahulu, harga seikat sayur jenis berdaun hanya dijual pada kadar RM1.50 seikat sahaja tetapi kini, ia naik sehingga RM3. Manakala, barang-barang lain seperti halia, kunyit, tomato, lada dan bawang semuanya naik sebanyak RM1 hingga RM3 dari harga asal.
Manakala, harga telur ayam pula dikesan naik RM2 sehingga RM3 sepapan di mana bagi gred A, harga pasaran yang dahulu yang lebih kurang RM12.50 kini sudah mencecah RM15.
Bagi daging ayam pula, harga naik dari RM8 sekilogram ke RM9.50 hingga RM11 sekilogram, manakala harga daging lembu tempatan mencecah sebanyak RM34 sekilogram berbanding RM28 sekilogram sebelum ini.

Semasa tinjauan, Nabalu News juga sempat mendengar pelbagai rungutan dari para pembeli yang rata-ratanya amat tidak berpuas hati dengan isu ini.
Seorang pengguna yang bekerja di Pasar Besar Kota Kinabalu berkata, kenaikan ini membebankan seluruh rakyat Sabah, terutamanya golongan berpendapatan rendah seperti dirinya sendiri.
“Sudah berpuluh tahun saya menjadi suri rumah sepenuh masa, tetapi oleh sebab gaji suami dikurangkan semasa pandemik, saya terpaksa mencari kerja untuk membantu suami tampung kehidupan keluarga.
“Baru sahaja ingin merasa sedikit keselesaan, tiba-tiba harga barang makan pula mengalami kenaikan. Bagaimanakah kami harus hidup?” kata Ika, 44, yang kini bekerja sebagai pembantu penjual sayur.

Menurut ibu yang mempunyai empat orang cahaya mata itu, barang makan sebelum ini masih mampu dibeli tetapi sekarang keluarganya terpaksa mengurangkan pembelian makanan.
“Kami membelanjakan lebih kurang RM200 dalam seminggu untuk membeli barang makan sekeluarga.
“Mujur saya bekerja di pasar kerana jika terdapat sayur yang tidak terjual, saya boleh bawa pulang dan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos perbelanjaan,” jelasnya.
Ika turut meluahkan rasa gelisah mengenai harga barang yang dijangka akan naik lebih banyak pada tahun hadapan kerana bukan sahaja pengguna yang akan menderita, malah peniaga juga akan terkesan teruk.

“Sememangnya pendapatan peniaga akan terjejas kerana pembelian akan berkurang memandangkan harga menjadi semakin mahal.
“Sekarang ini pun pembekal sayur sudah naikkan harga, dan ramai peniaga memilih untuk menaikkan hanya sedikit harga agar pembeli tidak terbeban. Namun itu menjejaskan peniaga kerana untung tidak banyak,” jelas Ika.
Sementara itu, seorang lagi pengguna yang turut meluahkan rasa tekanan mengenai isu ini berkata, kerajaan pada hari ini amat mengecewakan kerana gagal mengawal peningkatan harga barang yang berlaku secara mendadak.
“Bukan sahaja harga sayur yang naik, roti, ayam, alat gantian kereta, bahan binaan dan lain-lain juga turut naik harga.

“Jika betul barang akan terus naik tahun depan seperti yang dilaporkan, mungkin saya akan ‘berputus asa’ sahaja,” kata Ajin Noor, 61, yang berasal dari Kota Belud.
Katanya lagi, kos barangan kali ni amat luar biasa dan merupakan yang tertinggi dirasainya. Justeru, beliau berharap kenaikan harga pada tahun depan itu hanyalah satu buah mulut yang tidak dijadikan kenyataan.
Seperti pengguna yang lain, Wong Shu Kang merayu kepada kerajaan agar bersikap empati dalam pengawalan harga barang-barang keperluan asas terutamanya kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya faham bekalan barang makan sekarang ini mengalami kekurangan. Mahu tidak mahu, peniaga terpaksa menaikkan harga untuk menampung perbelanjaan seperti racun dan baja yang juga harganya naik mendadak.
“Keadaan sekarang ini memang teruk dari yang dahulu, lebih teruk dari semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tiada barang yang murah sekarang ini, hidup susah mati pun susah,” katanya.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat memantau harga-harga barangan dan tangani isu itu dengan lebih baik.
Comments