top of page
  • nabalunews

PEMERKASA TAMBAHAN BANTU RAKYAT HARUNGI PKP YANG LEBIH KETAT - PM



1 Jun 2021


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej bantuan dan rangsangan ketujuh dikenali sebagai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) atau PEMERKASA Plus berjumlah RM40 bilion.


Pakej bantuan itu bagi meredakan cabaran rakyat menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat atau sekatan pergerakan penuh (total lockdown) selama dua minggu bermula hari ini.


Jumlah itu melibatkan suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion membabitkan 12 inisiatif yang akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.


Inilah antara usaha kerajaan sebagai meneruskan agenda prihatin rakyat dan komitmen kerajaan dalam mengurus krisis yang melanda kini ,” katanya dalam perutusan khas Bantuan PKP 3.0 yang disiarkan menerusi televisyen dan radio semalam.


Katanya kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan wujud keseimbangan antara ”nyawa dan mata pencarian’ iaitu keperluan untuk melindungi nyawa dan menjamin kesejahteraan rakyat termasuk peluang rakyat mencari nafkah untuk keluarga tersayang sepanjang tempoh PKP itu.


Menurutnya sejak COVID-19 melanda negara, kerajaan telahpun melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion yang menafaatkan lebih 20 juta ahli isi rumah serta lebih dua juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi RM200 bilion.


Menerusi suntikan fiskal dan langkah yang telah diambil itu, prestasi ekonomi semakin pulih, menggambarkan hasil dan impak positif untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan menyediakan bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.


Beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk melaksanakan PKP yang lebih ketat adalah satu keputusan yang sukar tetapi terpaksa dibuat dan sama ada berjaya atau tidak terserah kepada rakyat serta ketentuan illahi. - Bernama

Comments


bottom of page