top of page
nabalunews

Pemimpin Dunia Harus Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan - Zahid

10 September 2024


SHANGHAI: Pemimpin dunia digesa meningkatkan mekanisme penyelarasan dalam kalangan negara bagi memerangi jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mekanisme penyelarasan yang kukuh antara negara, yang melibatkan kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan, penguatkuasa undang-undang, organisasi masyarakat dan rakan kongsi sektor swasta adalah penting dalam memerangi jenayah tersebut.


Ahmad Zahid berkata jenayah ini sering dilakukan oleh sindiket antarabangsa dan bukannya organisasi kecil tempatan.


Sehubungan itu penyelarasan yang berkesan akan membolehkan semua negara menangani ancaman keselamatan dengan lebih cekap dan tepat.


Ahmad Zahid berkata menangani jenayah rentas sempadan memerlukan lebih daripada usaha nasional kerana ia menuntut kerjasama antarabangsa yang kukuh.


Katanya untuk menangani ancaman rentas sempadan ini dengan lebih berkesan, agensi penguatkuasaan undang-undang, kerajaan dan organisasi antarabangsa mesti berkongsi risikan, mengukuhkan rangka kerja undang-undang dan membina kapasiti.


“Tindak balas kita mestilah pantas, diselaraskan, bersatu dan kita tidak mampu untuk bekerja secara berasingan. Kita perlu melabur dalam teknologi terkini, meningkatkan perkongsian maklumat rentas sempadan, dan membina perkongsian yang kukuh untuk menentang rangkaian jenayah ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika berucap pada Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2024 di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu, China.


Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa Malaysia komited untuk menjalin perkongsian keselamatan yang kukuh di seluruh dunia, melangkaui benua dan wilayah.


Sehubungan itu Malaysia mempelawa semua negara untuk bekerjasama ke arah hasil yang saling menguntungkan dan meningkatkan keselamatan global, katanya.


Ahmad Zahid mengambil contoh Malaysia dan China yang telah menandatangani perjanjian untuk meningkatkan kerjasama dalam mencegah dan memerangi jenayah rentas sempadan pada bulan Jun lalu.


Beliau berkata perjanjian itu adalah untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang risikan berkaitan keganasan, kawalan sempadan, dan memerangi penipuan telekomunikasi, perjudian dalam talian, pengedaran dadah, penyeludupan dan pengubahan wang haram.


“Ia juga termasuk latihan untuk meningkatkan kapasiti penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi keganasan, penyiasatan jenayah dan jenayah ekonomi,” katanya.


Sementara itu Ahmad Zahid berkata Malaysia berkongsi kebimbangan yang sama dan komited dengan China dalam isu perjudian haram dalam talian.


Katanya Malaysia telah mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja untuk Rangka Kerja Keselamatan Negara bagi mengukuhkan rangka kerja undang-undang, meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang dan meningkatkan kerjasama rentas sempadan.


Beliau berkata perjanjian Malaysia dengan China untuk memerangi perjudian dalam talian dan perjudian haram ini sudah menunjukkan hasil kerana jumlah tangkapan warga China di Malaysia menurun daripada 1,225 pada 2020 kepada 79 orang pada 2023.


“Kerjasama ini termasuk berkongsi risikan, menyelaraskan operasi penguatkuasaan dan membentuk pasukan petugas bersama untuk menangani sindiket perjudian rentas sempadan dengan berkesan,” katanya.


Ahmad Zahid berkata adalah penting bagi Polis Antarabangsa (Interpol) untuk kekal di barisan hadapan dalam memerangi jenayah terancang, khususnya keganasan.


Justeru Interpol harus melabur dalam kepolisan moden dan peralatan canggih.


“Mengimbangi langkah keselamatan yang kukuh berkenaan dengan kebebasan awam adalah penting dan melaksanakan mekanisme global dengan pengecaman muka definisi tinggi dan teknologi CCTV terkini boleh meningkatkan usaha pencegahan jenayah secara drastik dengan mengurangkan masa tindak balas dan meningkatkan ketepatan,” kata beliau.


Mengulas usaha Malaysia dalam aspek keselamatan awam, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa kerajaan sedang meningkatkan sistem panggilan kecemasan baharu dengan pengenalan Next Generation Emergency Services (NG999) yang mengintegrasikan teknologi canggih seperti peta digital, geolokasi dan kecerdasan buatan (AI) untuk menambah baik perkongsian maklumat dan menyelaraskan tindak balas kecemasan.


Selain itu beliau berkata kerajaan juga sedang meningkatkan kepolisan komuniti di semua negeri di bawah Program Bandar Selamat yang akan menggalakkan penglibatan rakyat melalui inisiatif pengawasan kejiranan dan kempen keselamatan awam serta mewujudkan barisan ketiga kepolisan komuniti, sama seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Comments


bottom of page