top of page

Pemuda UPKO Ranau Sokong Belia Paginatan dengan Sumbangan Sukan

  • nabalunews
  • Apr 12
  • 1 min read


12 April 2025


RANAU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau terus komited menyokong pembangunan belia melalui aktiviti kesukanan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan.


Sumbangan tersebut disampaikan oleh Amirul Azril Zulfkli yang mewakili Ketua Pemuda UPKO Ranau, Leester Dalimon. Sumbangan diterima oleh wakil belia kampung berkenaan, Yusiman Undang, bagi tujuan pelaksanaan kejohanan sepak takraw anjuran belia Kampung Bitoon.


Menurut Amirul, antara sumbangan yang diberikan termasuk bola takraw, jaring, makanan ringan seperti mi segera, serta air mineral yang akan digunakan semasa kejohanan berlangsung. Sumbangan ini merupakan satu bentuk galakan kepada belia untuk terus aktif dan mengembangkan potensi dalam bidang sukan.


"UPKO Ranau amat menyokong inisiatif belia yang ingin menghidupkan suasana komuniti melalui sukan. Selain mengeratkan hubungan sesama penduduk, aktiviti seperti ini juga mengalihkan perhatian anak muda daripada gejala sosial," katanya.


Beliau menambah, pihaknya sentiasa terbuka untuk menyokong usaha belia di kawasan Paginatan, selari dengan aspirasi parti dalam membentuk generasi yang sihat dan progresif.


Sementara itu, Yusiman merakamkan penghargaan atas keprihatinan Pergerakan Pemuda UPKO Ranau terhadap keperluan belia di kampung mereka. Jelasnya, sumbangan tersebut bukan sahaja membantu dari segi logistik, malah menaikkan semangat anak muda untuk menjayakan kejohanan tersebut.


“Kami sangat berterima kasih kepada pihak UPKO Ranau. Tanpa sokongan seperti ini, sukar untuk kami mengatur kejohanan dengan baik. Ia memberi semangat dan motivasi kepada belia di sini,” ujarnya.


Menurutnya lagi, dengan sokongan berterusan daripada pihak-pihak seperti UPKO Ranau, impian membina masyarakat belia yang aktif, bersatu dan bermatlamat tinggi semakin hampir menjadi kenyataan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page