Pemuda UPKO sokong kenyataan Ewon

16 Disember 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pergerakan Generasi Muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia menyokong saranan bakal Presiden parti itu Datuk Ewon Benedick supaya Pakatan Harapan (PH) Sabah dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri itu.
Ketua Pergerakan Generasi Muda Maxolvine Sintore Gabu berkata, ketika ini kerajaan Sabah adalah kerajaan GRS-BN manakala PH Sabah masih dikategorikan sebagai pembangkang di peringkat negeri.
“Jika dilihat kepada pendirian GRS selepas keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diumumkan, GRS pada mulanya telah menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), namun mengubah keputusan dan menyokong kerajaan Perpaduan pimpinan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setelah kerajaan Perpaduan dibentuk di peringkat persekutuan, tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH Sabah telah memberi sokongan kepada kerajaan GRS untuk terus memimpin Sabah, sesuai dengan mandat rakyat negeri itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden UPKO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang menyatakan setiap pemimpin daripada PH Sabah dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri pimpinan GRS dan BN dapat merangka mekanisme untuk merealisasikan hasrat itu.
Sambil menyokong kenyataan Ewon, Maxolvine berkata, persefahaman antara pemimpin PH Sabah dan GRS dan BN itu juga dapat menstabilkan politik di negeri ini seterusnya membolehkan kerajaan lebih fokus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah.
“Walaupun kehangatan politik di peringkat persekutuan semakin kurang, ironinya, keadaan politik di Sabah pula semakin hangat. Dengan pengumuman Datuk Hajiji yang keluar daripada BERSATU sedikit sebanyak membuat kedudukan beliau tergugat. Sekiranya masalah ini berterusan, sudah tentu fokus pelayanan terhadap rakyat juga akan terganggu,” katanya.
“Untuk menstabilkan kerajaan negeri Sabah, cadangan Ewon untuk mewujudkan kerajaan perpaduan di negeri ini sangat wajar dan tepat pada masanya.
“Perlu diingat bahawa kerajaan perpaduan ini bukanlah ikatan politik, tetapi satu bentuk kerjasama matang antara parti politik dalam membentuk kerajaan yang boleh fokus untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah,” katanya.
Katanya lagi, sudah tiba masanya kepentingan Sabah harus menjadi keutamaan kepada semua pemimpin politik di Sabah tanpa mengira ideologi politik.
“Biarlah aktiviti politik hanya berlaku semasa pilihanraya nanti,” katanya.
Comments