PENANGGUHAN UNDI18 TUNJUKKAN KERAJAAN PN GENTAR PENGUNDI MUDA: EWON
26 Mac 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata keputusan menangguhkan pelaksanaan Undi18 ke September tahun depan menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gentar berhadapan pengundi muda dalam pilihan raya umum (PRU).
"Mengaku saja yang sebenarnya kamu gentar dengan Undi18...tidak perlu gunakan PKP sebagai alasan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis," katanya.
Beliau yang juga Adun Kadamaian mengulangi pendirian menyokong Undi18 yang memberi hak mengundi anak-anak muda Sabah yang genap berusia 18 tahun dan ke atas.
“Saya menyokong Undi18 semasa saya berada dalam mesyuarat jemaah menteri Kabinet Negeri Sabah dan mengundi menyokong pindaan Perlembagaan Negeri Sabah semasa sidang DUN untuk perkara ini.
“Namun, tatkala Muhyiddin menyatakan akan mengadakan pilihanraya umum sebaik sahaja tempoh "darurat politik" tamat, beliau telah melengahkan hak anak-anak muda 18-21 tahun ini,” katanya.
Ewon berkata demikian ketika mengulas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia yang menyatakan Undi18 dijangkakan hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.
Beliau berkata, ia bukan sahaja mengambarkan kegagalan badan pilihanraya tersebut, tetapi juga Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Alasan pelaksanaan PKP yang menjejaskan pelaksanaan Undi18 adalah sangat lemah sekali.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, agensi penguatkuasaan Kerajaan yang berkaitan boleh pula mengkompaun sehingga RM10,000 anak-anak muda termasuk pelajar dan telah "menghuru-harakan" anak-anak muda yang masih belajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi dengan pengumuman-pengumuman berkaitan PKP yang kurang cekap,” katanya.
Ewon turut mempersoalkan kenapa golongan itu dilengahkan untuk menunaikan hak mengundi.
“Sebenarnya anak-anak muda berusia 18-21 tahun sudah sekian lama melaksanakan banyak perkara yang dilaksanakan oleh warga dewasa.
“Mereka boleh mendirikan rumah tangga, berniaga, bekerja, memiliki lesen, menandatangan kontrak, mengambil bahagian dalam proses bina negara.
“Selain itu mereka juga tertakluk kepada undang-undang negara sama seperti mereka yang berusia 21 tahun ke atas,” tegas beliau.
Sebab itu Ewon memuji YB Syed Saddiq, mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia atas inisiatif yang direalisasikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
“Sebab itulah apabila Parlimen meluluskan Undi18 dan seterusnya pindaan Perlembagaan Persekutuan, ia juga perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet Negeri Sabah, seterusnya ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk meminda Perlembagaan Negeri Sabah bagi memberi hak mengundi kepada anak-anak muda Sabah yang genap berusia 18 tahun dan ke atas,” katanya.
Katanya lagi, beliau menyokong Undi18 semasa berada dalam mesyuarat jemaah menteri Kabinet Negeri Sabah dan mengundi menyokong pindaan Perlembagaan Negeri Sabah semasa sidang DUN untuk perkara ini.
Comentarios