top of page

Pencen asal dibayar selaras keputusan mahkamah – PM

  • Wartawan Nabalu News
  • Jul 13, 2023
  • 1 min read

ree

13 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Pesara perkhidmatan awam akan menerima bayaran pencen asal mereka bagi bulan Julai hingga Disember 2023, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, keputusan itu dibuat mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu yang telah memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah.


"Kerajaan membawa isu ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bagi mencari jalan penyelesaian untuk memastikan kebajikan pesara terus terbela," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pesara semasa berkhidmat dan prihatin dengan kebajikan pesara dalam situasi sekarang.


"Kerajaan juga akan mengkaji semakan gaji perkhidmatan awam dan ia akan turut melibatkan pesara-pesara perkhidmatan awam," tambahnya.


Menurut beliau, bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012 dan pegawai awam yang bersara mulai 2013 pula, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.


Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan membayar perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP).


Ini bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.


Jelas Anwar, penyelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut peratusan kenaikan yang telah ditetapkan selaras dengan Akta Penyelarasan Pencen 1980.


"Hasil keputusan ini diharap dapat memberikan impak positif kepada kakitangan awam, pesara-pesara perkhidmatan awam dan kerajaan," katanya.




 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page