top of page
Wartawan Nabalu News

PENDUDUK KG.POMPOD KELAWAT MOHON KERAJAAN SEDIAKAN BOT UNTUK HADAPI BANJIR


Antara rumah di Kg.Pompod yang terjejas teruk akibat banjir beberapa hari lalu.

21 Jan 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Penduduk Kampung Pompod Kelawat Kota Belud menyarankan agar kerajaan menyediakan bot atau perahu sebagai persediaan menghadapi banjir di kawasan itu.


Jurucakap penduduk kampung berkenaan Frederica Jelen berkata, kemudahan itu penting bagi membantu penduduk kampung menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir besar.



"Sebelum ini kampung kami terutama di kawasan rendah selalu dilanda banjir setiap kali hujan lebat, tetapi tidak seteruk banjir yang berlaku beberapa hari yang lalu.


"Oleh itu, kami memohon agar kerajaan dapat membantu menyediakan beberapa buah bot atau perahu sebagai persediaan menghadapi banjir luar jangka dan hal-hal kecemasan pada masa akan datang," katanya kepada Nabalu News.


Frederica berkata, banjir yang melanda kampung itu beberapa hari lalu telah menyebabkan sembilan buah rumah terjejas teruk ditenggalami air dan beberapa rumah lagi dimasuki air.



"Penduduk kampung yang rumah mereka ditenggalami air, terpaksa menumpang di rumah saudara yang tinggal di kawasan yang tinggi.


"Kami bernasib baik kerana, bahagian tingkat bawah rumah kami saja dinaiki air, kami terpaksa mengangkat semua peralatan memasak termasuk peti sejuk, gas memasak di tingkat atas rumah," katanya.


Beliau berkata, selain rumah, gereja, perhentian bas dan kereta, jalan raya turut ditenggalami banjir menyukarkan penduduk kampung keluar membeli keperluan makanan sejak beberapa hari yang lepas.'



Kampung itu mempunyai kira-kira 120 penduduk.


"Pada tahun lalu, lima kali banjir di kampung kami dan tiga kali rumah kena banjir. Tahun ini (17 hingga 19 Jan) banjir paling teruk," katanya.


Selain Kampung. Pompod dan Kg.Minangkob, beberapa rumah di kampung-kampung berdekatan seperti Kg. Pangi, Kg. Pahu dan Kg.Tumanan turut terjejas dimasuki air.


Frederica berterima kasih kepada kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NG0) kerana menyalurkan bantuan makanan untuk penduduk kampung berkenaan.


"Kami juga merayu agar pihak berwajib dapat memantau dan memberikan perhatian serius Kg.Pompod dan kampung-kampung sekitar yang terjejas banjir," katanya.

Comments


bottom of page