Penduduk Kg Sarang adakan gotong-royong bagi persiapan pembinaan projek Tamu Desa

20 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Penduduk Kg. Sarang bergotong royong membersihkan tapak bagi pembinaan projek Tamu Desa di kampung itu, hari ini.
Dana bagi pembinaan bangunan Tamu Desa Kg. Sarang telah diluluskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian melalui peruntukan kementeriannya.
Program gotong royong ini diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Sarang, Dinchin Bakar dan Petugas Pejabat ADUN Kadamaian merangkap Ketua Perhubungan UPKO Dun Pintasan, Adlan Kuluput.

Dalam program ini, ahli Pergerakan Wanita UPKO Kg. Sarang turut membantu menjayakan aktiviti gotong royong dengan menyediakan makanan.
Sementara itu, penduduk kampung bersyukur dan merakamkan penghargaan kepada Ewon di atas kelulusan pembinaan bangunan Tamu Desa ini.
Mereka berharap kemudahan baharu ini kelak akan memberikan keselesaan kepada para peniaga dan pembeli di masa akan datang.

Sebelum ini, penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka di pondok tamu yang diperbuat daripada buluh.
Bangunan Tamu Desa yang baharu ini bakal menyediakan ruang yang lebih luas dan selesa untuk para peniaga dan pembeli.
Prouek Tamu Desa ini adalah antara inisiatif Ewon selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi penduduk di Kg. Sarang.
Usaha ini diyakini dapat menarik lebih ramai pengunjung ke kampung ini, dan seterusnya meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Comentários