top of page
Wartawan Nabalu News

Penduduk puji kesungguhan Ewon bangunkan Kadamaian


Ewon (tengah) semasa melawat Kg.Gensurai baru-baru ini.

16 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Penduduk Kadamaian memuji kesungguhan wakil rakyat mereka, Datuk Ewon Benedick untuk membangunkan kawasan itu, meskipun tidak lagi berada di barisan kabinet negeri.


Semalam, Ewon yang kini wakil pembangkang menyerahkan sendiri Pelan Induk Pembangunan Kadamaian kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Kota Kinabalu.


Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 itu mencakupi wawasan beliau untuk membangunkan Kadamaian berasaskan kepada dua sektor ekonomi utama iaitu pertanian dan pelancongan.


Seorang penduduk Kadamaian Anichlose Kasimin berharap agar kepimpinan yang mewakili GRS di DUN Kadamaian dapat berkerjasama dengan Adun Kadamaian dalam membawa masuk peruntukan pembangunan untuk kawasan itu.


“Ketepikan perbezaan fahaman politik demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Kadamaian.


“Saya juga berharap agar kerajaan yang ada sekarang lebih peka dan proaktif membantu rakyat dalam fasa pemulihan kesan daripada penularan Covid-19 kerana ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan dalam tempoh tersebut,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.

Ewon (tengah) meninjau kawasan Gereja SIB Kg.Piasau dan menyampaikan sumbangan pembinaan parit kawasan itu, baru-baru ini.

Anichlose berkata, kepimpinan di peringkat akar umbi seperti ketua-ketua kampung dan Pengerusi JPKK harus memainkan peranan penting untuk menyalurkan maklumat berkaitan keperluan dan masalah rakyat kepada Pejabat UPPM masing-masing.


“Ini penting supaya perkara tersebut dapat dibawa dan dibahas dalam mesyuarat Kabinet Negeri dan juga sidang Dun Negeri Sabah dan seterusnya dapat diambil tindakan untuk jalan penyelesaian demi kebaikan masyarakat setempat dan amnya rakyat Sabah,” katanya.


Beliau berkata, tahun ini sahaja Ewon telah banyak menghulurkan bantuan dan menyalurkan peruntukan pembangunan di kawasan Kadamaian.


“Bagi kawasan saya sahaja, antaranya penaiktarafan jalan Kuburan Kg. Melangkap Neriou dan penaiktarafan Tamu Badi-Badi Kg. Melangkap Tiong.


“Selain itu sumbangan berupa keperluan pembinaan untuk BTSM Melangkap, naik taraf jalan Kg. Gansurai, tabur batu jalan Pertanian Kg. Gansurai, naik taraf Gerai wanita Kg. Gansurai, jalan pertanian Kg. Lasau Podi dan naik taraf kawasan Gereja SIB Piasau.

“Datuk Ewon juga meneruskan bantuan kebajikan untuk kelahiran, kematian dan pelajar yang menyambung pelajaran,” katanya.


Anichlose berkata, ini membuktikan kesungguhan Ewon membangunkan kawasan Kadamaian dan menjaga kebajikan rakyat kawasan itu.


Sementara itu Maison Bansai dari Kampung Gensurai bersyukur kerana mempunyai wakil rakyat yang sentiasa mendengar masalah rakyat.


“Kita sedia maklum peruntukan Adun Pembangkang agak terhad tidak seperti sebelum ini tetapi kami tetap bersyukur kerana setiap permohonan kami didengar dan ditunaikan.


“Antaranya menaiktaraf Gerai Keusahawanan Wanita Kampung Gensurai, membaiki kerosakan jalan kampung, jalan pertanian dan pelancongan serta membaiki bangunan guna sama (Balairaya dan Tabika Kemas),” katanya.


Selain itu katanya, Ewon juga menyampaikan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang dikuarantin wajib.


Pelan Induk Pembangunan Kadamaian itu disediakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian pada tahun 2019. Ewon berharap Kerajaan hari ini meneruskan komitmen pembangunan DUN Kadamaian berdasarkan pelan induk itu. “Tugas saya selaku Wakil Rakyat adalah memastikan perancangan pembangunan komprehensif yang terancang dan tersusun. Justeru, saya berharap pelan induk akan terus menjadi panduan dan rujukan penting kepada kerajaan untuk merancang dan melaksanakan pembangunan di Kadamaian,” katanya.




Kommentare


bottom of page