- Wartawan Nabalu News
Penduduk Ranau minta pihak berwajib selesaikan masalah air
13 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
RANAU: Penduduk Kampung Marakau dan sekitarnya meminta pihak berwajib mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah air di kawasan itu.
Menurut seorang penduduk kawasan ini yang hanya mahu dikenali sebagai Cleo, setiap kali musim hujan, bekalan air paip akan terputus selama beberapa hari.
“Kalau ada pun aliran air, air yang keluar dari pili dalam keadaan kabut dan berlumpur. Saya amat kecewa dengan perkhidmatan Jabatan Air Ranau yang tidak effisien dalam menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk di sini,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.
Video pendek yang dihantar oleh pengadu kepada Nabalu News
Cleo mendakwa, ramai penduduk menyuarakan masalah yang sama melalui media sosial di mana kanak-kanak mahupun orang dewasa mengalami sakit perut selepas menggunakan air dari paip (Jabatan Air) untuk memasak.
“Keadaan ini berlarutan sejak puluhan tahun lalu tanpa penyelesaian yang nyata, melainkan penyelesaian-penyelesaian jangka pendek yang tidak menjamin bekalan air bersih secara berterusan dan konsisten,” katanya.
Katanya lagi, masalah air di kawasan itu berlaku sejak dua minggu lalu. “Sekarang memang ada air dan tidak begitu kabut tetapi belum jernih sepenuhnya”.
“Masalah air kabut dari paip (Jabatan Air) bukan kejadian pertama, kedua atau ketiga tetapi sudah berlarutan sejak bertahun lamanya,” dakwanya.
“Kawasan perumahan kerajaan seperti d berek polis pun banyak rungutan mengenai air, sedangkan lokasi berek tidak sampai satu kilometer dari loji air,” katanya.
Opmerkingen