top of page

Penduduk Tamparuli bantah pelan persempadanan baharu

  • Wartawan Nabalu News
  • Jan 6, 2022
  • 2 min read


6 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMPARULI: Seramai 108 penduduk asal Tamparuli membuat bantahan terhadap pelan persempadan baharu oleh Majlis Daerah Tuaran (MDT) yang disifatkan sebagai mengelirukan dan dijangka akan menurunkan taraf Tamparuli sebagai daerah kecil.


Bantahan itu diketuai mantan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Jefrey Teo setelah Pelan Tempatan Dalit dan Pelan Tempatan Sulaman diperkenalkan bagi menggantikan pelan-pelan persempadanan Tamparuli sedia ada.


Jefrey Teo

Menurut Jefrey, pelan baru yang dikeluarkan MDT melalui Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sabah mengakibatkan pelan sedia ada seperti Pelan Tamparuli Skim, Pelan Tuaran dan beberapa yang lain tidak lagi akan terpakai selepas ini.


“Apa yang menghairankan pelan yang dinamakan sebagai Pelan Tempatan Dalit dan Pelan Tempatan Sulaman pula akan digunapakai.


“Ini sesuatu yang tidak betul dan sangat mengelirukan. Kenapa pula Pelan Persempadanan Tamparuli ditiadakan dan diganti dengan nama pelan yang tidak berkaitan dengan nama kawasan ini?


“Kita membantah sekeras-kerasnya. Perlu diingat kawasan Dewan Undangan Tamparuli (DUN) Tamparuli, DUN Sulaman dan DUN Dalit adalah tiga kawasan yang berbeza. Kawasan persempadanan Tamparuli sepatutnya tidak dimasukkan ke kawasan Dalit dan Sulaman,” katanya dalam kenyataan media, di sini.


Terdahulu, Jefrey telah menghantar surat bantahan penduduk Tamparuli ke pejabat Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah pada penghujung tahun 2021.


Katanya lagi, Tamparuli mempunyai sejarahnya tersendiri sejak zaman British dan kini mempunyai Pejabat Daerah Kecil.


“Dalam sedikit masa lagi dijangka kawasan ini akan menjadi sebuah daerah penuh serta mempunyai majlis daerah sendiri dengan peningkatan kapasiti penduduk setiap tahun.


“Justeru, adalah tidak munasabah kawasan persempadanan Tamparuli dimasukkan ke dalam kawasan persempadanan Dalit dan Sulaman, kerana ia bukan sahaja mengelirukan rakyat malah mengetepikan hak, identiti dan sejarah Pekan dan Daerah kecil Tamparuli.


“Tamparuli juga mempuyai tiga pekan utama iaitu Pekan Tamparuli, Pekan Tenghilan dan Pekan Topokon.


“Justeru, selaku mantan PPM bagi kawasan N.14, saya bersama penduduk asal Tamparuli mahu agar kawasan ini mempunyai pelan persempadanan sendiri, dan bukannya dimasukkan ke dalam Pelan Tempatan Sulaman dan Pelan Tempatan Dalit.


“Saya mohon ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim turut menyuarakan bantahan kerana tindakan sedemikian jika dibiarkan menyebabkan Tamparuli ‘dimakan’ oleh jirannya,” kata Jefrey.


Untuk rekod, Pelan Tempatan Dalit dan Pelan Tampatan Sulaman telah diwartakan oleh MDT pada 3 Jun 2021 dan dipamerkan oleh MDT selama 30 hari untuk semakan dan bantahan orang awam sehingga 3 Januari 2022.


Sekiranya diluluskan, pelan itu akan digunapakai kerajaan sebagai instrumen kawalan pembangunan utama kawasan Tamparuli.

Bình luận


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page