Penduduk Telupid rayu kerajaan selesai masalah bekalan air, elektrik
15 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
TELUPID: Penduduk di Telupid merayu kepada kerajaan supaya menyelesikan masalah bekalan air dan elektrik yang sering terputus di kawasan itu sejak sekian lama.
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang berkata, gangguan bekalan air dan elektrik itu menyukarkan penduduk kampung membuat kerja harian mereka.
“Saya bersimpati dengan keadaan warga Telupid. Bekalan air sering terputus dan begitu juga dengan bekalan elektrik.
“Kita sedar dan tahu masalah ini bukan sesuatu yang baru tetapi sejak kebelakangan ini ia semakin kritikal.
“Saya kongsikan isu ini kerana saya juga telah menerima beberapa aduan, rungutan dan keluhan daripada rakan-rakan warga Telupid,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.
Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran berkata, sebagai pemimpin blok pembangkang adalah menjadi tanggungjawab dan peranan mereka untuk menyuarakan keluhan rakyat.
“Niat kita bukan untuk berpolitik semata-mata tetapi untuk menyuarakan keluhan rakyat agar pihak berkenaan dapat melakukan sesuatu sebelum masalah ini menjadi semakin parah,” katanya.
Beliau berkata, rakyat negeri ini mahu janji ‘maju pesat membangun jika sehaluan’ ditunaikan untuk kesejahteraan hidup rakyat Sabah.
Comments