Penerima Sinovac perlu ambil dos penggalak, elak status vaksinasi tukar kepada ‘tidak lengkap’

16 Dis 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Status vaksinasi bagi semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac berumur 18 tahun ke atas serta individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin) akan ditukarkan kepada 'tidak lengkap' sekiranya gagal mendapatkan suntikan dos penggalak selepas Februari 2022.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu yang belum menerima dos penggalak tersebut, status vaksinasinya akan ditukarkan menjadi 'tidak lengkap' dan mereka tidak layak untuk menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19.
“Sehingga hari ini, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak.
“Lanjutan itu pihak Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) telah mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas,” katanya dalam kenyataaan media hari ini.
Menurut beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melalui Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE) telah mencadangkan agar semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin siri primer) perlu mengambil dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.
“Cadangan ini telah diterima oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Booster (CITF-B) pada 8 Disember 2021.
“Justeru itu, individu dalam kumpulan yang dinyatakan tersebut perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada bulan Februari 2022 untuk mengelakkan daripada penukaran status vaksinasi menjadi tidak lengkap,” jelasnya.
Commentaires