nabalunews
PENGANUT KRISTIAN KINI BOLEH GUNA KALIMAH ALLAH
10 Mac 2021
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama untuk mendidik ahli dalam komuniti mereka.
Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.
Keputusan kes itu hari ini, mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.
Terdahulu pada prosiding itu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.
Nor Bee dalam penghakimannya membenarkan deklarasi dalam mengamalkan kebebasan beragama yang terlindung dalam Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.
"Satu deklarasi bahawa arahan kerajaan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dalam KDN bertarikh 1986 adalah salah di sisi udang-undang dan tidak berlembagaan.
"Selain itu satu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa pemohon dijamin hak kesamarataan di sisi undang-undang dan dilindungi dari diskriminasi antara warganegara antara lain, atas alasan-alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang," katanya.
Nor Bee, berkata Kabinet pada 1986 tidak mengenakan sekatan penuh terhadap keempat-empat perkataan itu, namun Kementerian Dalam Negeri melangkaui kuasanya.
Katanya, penggunaan kalimah Allah ketika itu boleh digunakan oleh gereja dengan syarat penerbitan itu hanya untuk orang Kristian.
"Dalam kes ini, pihak kementerian bertindak secara tidak rasional, menyalahi undang-undang dan tidak wajar.
"Jill Ireland juga menyediakan afidavit daripada tiga orang Islam yang menyatakan bahawa mereka tidak terkeliru dengan penggunaan perkataan itu oleh orang Kristian," katanya.
Katanya, sudah dibuktikan bahawa apabila orang Kristian menggunakan Allah untuk tujuan keagamaan ia tidak menimbulkan sebarang kekacauan kepada keselamatan awam.
"Masyarakat Kristian di Sarawak dan Sabah juga sudah menggunakan perkataan Allah hampir 400 tahun," katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Shamsul Bolhassan ketika dihubungi menjelaskan, penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu hendaklah disertakan dengan penafian (disclaimer) pada kulit buku.
"Kena ada cop penafian 'Hanya untuk penganut Kristian sahaja' dan lambang salib," katanya.
Sebelum ini kes itu terpaksa ditangguhkan sebanyak 12 kali bagi mencari penyelesaian di luar mahkamah. Bagaimanapun, kedua-dua pihak gagal menemui kata sepakat.
Dalam prosiding itu, Jill Lawrence selaku pemohon diwakili peguam Lim Heng Seng,Annou Xavier dan Tan Hooi Ping manakala Shamsul bertindak bagi pihak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden.
Pada 2008, Jill Ireland memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.
Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland an memerintahkan supaya kesemua lapan cakera padat itu dipulangkan namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon. - Berita Harian
Comments