top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pengecualian surcaj elektrik tanda komitmen kerajaan persekutuan bantu penduduk Sabah - Madius


30 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan terus komited untuk membantu rakyat Sabah dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi dengan mengekalkan pengecualian surcaj elektrik kepada pengguna domestik di negeri itu hingga akhir tahun ini.


Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, keputusan itu membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan tidak mengabaikan keperluan dan kebajikan rakyat Sabah dalam menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan berpatutan.


"Kita berterima kasih kerana Sabah juga dimasukkan dalam dasar berkenaan ...sebenarnya kita di Sabah telah menerima peruntukan sebanyak RM800 juta setahun untuk memastikan SESB terus beroperasi seperti biasa," katanya kepada Bernama, di sini, pada Khamis.


Beliau menjelaskan bahawa kos penjanaan SESB adalah lebih tinggi daripada jualan kepada pengguna, oleh itu SESB memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan untuk menampung defisit tersebut.


"Namun, kita sangat mengalu-alukan usaha kerajaan (pengecualian surcaj) demi pengguna yang ada di Sabah," tambah beliau.


Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan bahawa pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah akan terus mendapat pengecualian surcaj untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Dis ini.


Ini adalah susulan pelaksanaan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) secara bersasar dalam tempoh tersebut.


ICPT adalah satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang membolehkan kos bahan api diselaras setiap enam bulan berdasarkan kadar turun naik harga global bahan api.


Madius berkata, SESB juga sedang melaksanakan ICPT dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah.

bottom of page