top of page

PENGGIAT anjur Merdeka Fun Run 7KM

  • nabalunews
  • Jul 27, 2025
  • 1 min read

Kasruniaty Rully
Kasruniaty Rully

27 Julai 2025


TAWAU: Pertubuhan Komuniti Kampung Budaya Pasir Putih Tawau (PENGGIAT) bakal menganjurkan Merdeka Fun Run 7KM sempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos depan dengan sasaran penyertaan 300 pelari.


Pengerusi PENGGIAT, Kasruniaty Rully (gambar) berkata, program itu berkonsepkan Karnival Kemerdekaan dengan pengisian aktiviti larian dalam kawasan kampung.


Beliau berharap program julung kali diadakan itu dapat memperkenal dan mengetengahkan kampung tersebut sebagai perkampungan sah dan mampu menjadi salah sebuah perkampungan yang mempunyai daya tarikan pelancong.


Menurutnya, inisiatif yang diadakan dengan kerjasama Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy itu berhasrat mahu membudaya dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup aktif, cergas dan sihat.


“Langkah ini seiring dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia MADANI iaitu kita mahu memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti larian dan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat,”katanya.


Kasruniaty berkata, penganjuran itu juga serampang dua mata dalam usaha memperkenalkan kampung tersebut sebagai salah satu destinasi pelancongan kepada masyarakat luar.


Ketika ini, katanya, PENGGIAT sedang melaksanakan promosi program di sekitar daerah ini dengan kemuncaknya diadakan sekali dengan sambutan kemerdekaan di Dewan Serbaguna Kg Budaya Pasir Putih pada 31 Ogos nanti.


Menurutnya, program itu dijangka akan turut dihadiri Andi Muhammad Suryady dan agensi-agensi kerajaan, NGO tempatan dan masyarakat sekitar.


Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau mempunyai pertanyaan mengenai penganjuran Merdeka Fun Run 7KM, boleh menghubungi jawatankuasa pelaksana di talian 010 937 5425 / 010 930 3465 / 011 1851 9585.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page