nabalunews
Penggiliran pegawai perolehan elak ketirisan perolehan aset ATM
19 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Kementerian Pertahanan akan melaksanakan sistem penggiliran setiap tiga tahun terhadap pegawai kerajaan yang terbabit dalam menentukan spesifikasi dan perolehan berkaitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bagi mengelak berlaku ketirisan.
Usaha itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung isu integriti dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar kerajaan menitikberatkan nilai-nilai amanah dalam urusan pembelian peralatan dan pembinaan kemudahan tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian merancang untuk mengambil langkah itu bagi memastikan tiada pegawai berada terlalu lama di bahagian sensitif berkenaan.
"Yang penting ialah kita mengambil saranan daripada pihak kerajaan, iaitu mereka yang menentukan spesifikasi ataupun menilai, kita akan gilirkan.
"Ia supaya mereka itu tidak akan kekal lama (di satu tempat sama). Maknanya, setiap tiga tahun kita akan ubah. Itulah perkara yang akan kita lakukan," katanya
seperti dilaporkan Berita Harian.
Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Turut hadir Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak.
Sultan Ibrahim pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2024, kelmarin, bertitah kerajaan perlu sentiasa menitikberatkan nilai-nilai amanah dalam urusan pembelian peralatan dan pembinaan kemudahan tentera.
Seri Paduka bertitah, peralatan yang dibeli mestilah bermutu tinggi dan memenuhi kehendak pasukan serta keperluan pertahanan negara, bukan mengikut telunjuk pembekal atau ejen yang menawarkan komisen.
Baginda juga bertitah, kedaulatan dan maruah negara akan tergadai jika rasuah dan salah guna kuasa diamalkan dalam kalangan pegawai tentera.
Seri Paduka bertitah selaku pemerintah tertinggi ATM, baginda tidak akan memberi muka kepada mana-mana pegawai ATM yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan gagal melaksanakan amanah sebagai pegawai tentera.
Mengulas lanjut mengenai isu perolehan aset ATM, Mohamed Khaled berkata, pihak kementerian turut bergantung pada peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan, sebelum mengetahui jenis aset yang akan diperoleh.
"Dalam perolehan kita mempunyai pelbagai, namun Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi pastinya baginda mempunyai akses terhadap apa yang kita lakukan (perolehan), dan kita akan memberi kerjasama secara spesifik kepada baginda," katanya.
Comments