top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penggulungan Titah Diraja: Teks penuh ucapan Menteri KUSKOP



23 Februari 2023


Pertamanya, izinkan saya menzahirkan rasa penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas perkenan Baginda untuk menyampaikan Titah Diraja pada pembukaan sidang Parlimen. Patik sebagai Anggota Jemaah Menteri kepada Kerajaan Tuanku, akan terus berusaha untuk melaksanakan apa yang telah dititahkan oleh Tuanku dengan sedaya upaya patik.


Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada 8 orang Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam membahaskan isu-isu berkaitan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sepanjang tempoh perbahasan Titah Diraja pada mesyuarat kali ini, iaitu Yang Berhormat Tumpat, Ayer Hitam, Pagoh, Tuaran, Sungai Besar, Petaling Jaya, Kuala Pilah dan Merbok. 


ISU PENGLIBATAN WANITA DALAM KOPERASI SERTA PENUBUHAN SEBUAH BANK KOPERASI KHAS UNTUK WANITA


Tuan Yang di-Pertua,


Yang Berhormat Tumpat telah membangkitkan isu penglibatan wanita dalam koperasi serta penubuhan sebuah bank koperasi khas untuk membantu serta menggalakkan kaum wanita terlibat dalam bidang perniagaan dan perbankan.


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KUSKOP sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan koperasi merangkumi pelbagai latar belakang dan kumpulan khusus termasuk koperasi wanita. Sehingga 30 Jun 2022, terdapat 250 buah koperasi wanita telah didaftarkan melibatkan keanggotaan seramai 27,895 orang melalui pengumpulan modal syer dan yuran sebanyak RM18.5 juta dengan penjanaan aset berjumlah RM77 juta dan perolehan mencecah RM10.07 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 22 buah koperasi wanita telah terlibat dalam aktiviti kredit dengan menawarkan pembiayaan kepada anggota koperasi yang melibatkan perolehan koperasi berjumlah RM819,438.00.

 

Pada tahun 2022, sebanyak 9 koperasi wanita telah menerima bantuan pembangunan koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melibatkan peruntukan sebanyak RM602,400. Sebanyak 56 buah koperasi wanita merangkumi 6,192 ahli koperasi wanita telah menyertai program pembangunan kapasiti anggota koperasi anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa).


KUSKOP melalui SKM mengambil maklum akan cadangan penubuhan bank koperasi khas bagi menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang perbankan dan kewangan. Namun, cadangan ini memerlukan penelitian kerana ia bukan sahaja perlu melalui pelbagai proses tetapi ia juga perlu dikaji dari aspek daya maju dan daya saing bank koperasi tersebut.


Dalam hal ini, KUSKOP berpandangan bahawa usahawan-usahawan wanita boleh mendapatkan pembiayaan daripada bank-bank sedia ada yang menyediakan pembiayaan kepada usahawan seperti TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan AIM yang turut menyediakan program pembiayaan khusus bagi usahawan wanita seperti TEKUNNita dan program Biz Lady.



ISU HALANGAN PENGHANTARAN PRODUK SERUNDING BERASASKAN DAGING KE NEGERI SABAH DAN SARAWAK


Tuan Yang di-Pertua,


Yang Berhormat Tumpat telah membangkitkan isu halangan bagi urusan penghantaran produk serunding berasaskan daging oleh usahawan di Tumpat, Kelantan ke negeri Sabah dan Sarawak.


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Perkhidmatan Veterinar di negeri Sabah dan Sarawak telah menetapkan syarat bagi penghantaran daging dari Semenanjung Malaysia untuk pasaran Sabah dan Sarawak. Antaranya ialah syarikat terlibat perlu mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar dan Sijil Halal JAKIM bagi memastikan produk yang dikeluarkan adalah daripada ladang ternakan yang sihat, tidak mempunyai penyakit serta memenuhi aspek pembungkusan serta pelabelan produk ditetapkan.


Walaupun syarat dan kriteria yang ditetapkan di luar bidang kuasa kementerian, tetapi atas iltizam bagi membantu usahawan, KUSKOP akan memperincikan isu yang dibangkitkan ini bersama pihak-pihak terlibat dalam memudahcara penghantaran produk berasaskan daging dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. 


Pada masa yang sama, KUSKOP melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sedang melaksanakan Program Pembangunan Kapasiti, Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bermula pada tahun 2021 yang melibatkan 4 orang usahawan serunding daging di Laman Serunding, Tumpat, Kelantan. Bagi tujuan ini, usahawan sedang dibantu daripada segi peningkatan kapasiti pengeluaran serunding, latihan keusahawanan serta bantuan dalam mendapatkan pensijilan halal JAKIM dan pensijilan MeSTI di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Inisiatif ini diharap dapat membantu usahawan untuk meluaskan akses pasaran produk serunding termasuk di Sabah dan Sarawak.


Bagi peningkatan produktiviti serta daya saing produk seperti penambahbaikan pelabelan dan pembungkusan produk serta peningkatan akses pasaran, SME Corp. pula telah menyediakan bantuan di bawah Skim Peningkatan Keupayaan PKS (BAP) dan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP). Bagi tahun 2022, sejumlah 12 orang usahawan dari negeri Kelantan telah mendapat manfaat daripada kedua-dua program ini dengan nilai kelulusan geran berjumlah RM900,000.



ISU MEMUDAHKAN PROSES PEMBIAYAAN KEPADA USAHAWAN


Tuan Yang di-Pertua,


Yang Berhormat Sungai Besar, Ayer Hitam dan Kuala Pilah telah membangkitkan isu bagi memudahkan proses pembiayaan kepada usahawan serta mengurangkan karenah birokrasi yang merumitkan melalui pengurangan dokumen berkaitan, pengecualian CTOS/CCRIS bagi pembiayaan di bawah dana kerajaan dan peluang kedua bagi memulakan perniagaan.


Untuk makluman Yang Berhormat, KUSKOP dan agensi-agensi pembiaya di bawahnya sentiasa berusaha untuk menambahbaik proses pembiayaan kepada usahawan. Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah seperti berikut:


TEKUN Nasional bermula pada Mac 2021, telah mengurangkan keperluan dokumentasi daripada 17 dokumen kepada 4 dokumen sahaja bagi skim pembiayaan TEKUN. Tempoh kelulusan pembiayaan juga telah dikurangkan kepada 7 hari bekerja berbanding 21 hari bekerja serta urusan penyaluran peruntukan kepada usahawan dilaksanakan dalam tempoh 3 hari bekerja;


SME Bank pada tahun 2021 dan 2022, telah memproses permohonan secara purata dalam tempoh 21 hari bekerja berbanding 30 hari bekerja seperti yang ditetapkan dalam piagam pelanggan agensi;


Pada tahun 2022, AIM berjaya mengurus tempoh pengeluaran pembiayaan dalam tempoh masa 10 hari berbanding 16 hari seperti yang telah ditetapkan di peringkat agensi; dan Pernas juga telah mengambil inisiatif untuk mendigitalkan proses permohonan perniagaan di bawah Pernas yang dijangka akan mula digunakan pada akhir tahun 2023.


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, agensi–agensi di bawah KUSKOP yang menawarkan bantuan kewangan seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Corp tidak mengambil kira penilaian CTOS dan CCRIS dalam menawarkan pinjaman dan geran peruntukan kepada usahawan yang menggunakan dana kerajaan.

 

Bagi usahawan yang menghadapi risiko kebankrapan atau muflis, KUSKOP melalui INSKEN dan TEKUN Nasional telah mengadakan kerjasama strategik bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam pelaksanaan Program Intervensi: Peluang Kedua. Program khas ini menyediakan khidmat nasihat kewangan, membantu menstruktur semula pinjaman serta mewujudkan program bimbingan serta coaching, dengan izin, untuk mengurangkan risiko kebankrapan bagi usahawan PMKS.

 


ISU PENGECUALIAN PENDAFTARAN SSM BAGI PEMBIAYAAN KEPADA USAHAWAN INFORMAL DAN MIKRO


Tuan Yang di-Pertua,


Yang Berhormat Sungai Besar telah membangkitkan isu pengecualian pendaftaran SSM terutamanya bagi pembiayaan kepada usahawan informal dan mikro.


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2022, TEKUN Nasional telah melaksanakan Skim Pembiayaan Informal Mikro (SPIM) iaitu program pembiayaan tanpa kadar keuntungan atau zero interest, dengan izin, yang telah memberi manfaat kepada seramai 31,934 orang usahawan dengan nilai penyaluran pembiayaan berjumlah RM258 juta. Melalui pelaksanaan skim ini, usahawan informal yang tidak mempunyai permit dan pendaftaran perniagaan, boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM5,000 dan RM10,000 bagi yang mempunyai permit dan berdaftar dengan SSM.

 

Pada tahun 2023, TEKUN Nasional telah melaksanakan program baru khusus untuk para usahawan yang berniaga secara dalam talian melalui Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT). Usahawan yang berniaga secara dalam talian tetapi tidak mempunyai pendaftaran perniagaan, boleh mendapatkan bantuan pembiayaan sehingga RM5,000 dan RM10,000 bagi yang berdaftar dengan SSM.


Selain itu, permohonan pembiayaan di bawah AIM tidak menetapkan pemohon perlu mempunyai pendaftaran SSM. Pemohon hanya perlu mengisi borang permohonan dengan disertakan dokumen berkaitan seperti salinan kad pengenalan, salinan kad pengenalan suami atau waris dan salinan buku akaun.


Bank Rakyat juga telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi pelaksanaan Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil 2.0 yang turut terbuka kepada usahawan informal dan mikro yang tidak mempunyai permit atau pendaftaran perniagaan. Sehingga 9 Februari 2023, sebanyak 2,066 pembiayaan telah diluluskan di bawah program ini dengan nilai keseluruhan sebanyak RM46.427 juta.

 


ISU USAHA PEMBUKAAN LADANG BIJIRAN BAGI MENGURANGKAN KEBERGANTUNGAN EKSPORT BIJIRAN MAKANAN AYAM


Tuan Yang di-Pertua,


Yang Berhormat Sungai Besar telah membangkitkan isu sejauh mana usaha kementerian terutama melalui SKM dan ANGKASA bagi pembukaan ladang bijirin untuk menampung pengurangan eksport ke atas bijiran makanan ayam yang akhirnya dapat membantu mengawal harga ayam.


KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta gerakan koperasi komited untuk memperkasakan penglibatan koperasi dalam aktiviti penternakan ayam sebagai usaha menangani kenaikan kos sara hidup di samping membantu menjamin bekalan makanan. Bagi menyokong penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan seperti ternakan ayam dan ruminan, KUSKOP melalui SKM menyediakan Pembiayaan Agromakanan sehingga RM3 juta serta bantuan geran pembangunan sehingga RM300,000 kepada koperasi2 bagi mengembang atau memperluaskan projek agromakanan serta aktiviti hilirannya.

 

Berhubung status tanaman jagung bijirin oleh ANGKASA, tanaman jagung bijirin ini akan menggunakan tanah milik koperasi atau ahli koperasi, yang mana sejumlah 3,500 hektar tanah telah dikenal pasti di seluruh negara. Pengujian kesesuaian tanah juga sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian dari segi aspek tanah, keluasan, keadaan topografi tanah bagi mekanisasi serta keadaan cuaca setempat. 


Pada masa ini, sebanyak 40 hektar tanah milikan koperasi dan ahli-ahli koperasi di daerah Jelebu, Negeri Sembilan telah didapati bersesuaian untuk penanaman jagung bijiran dan pihak ANGKASA akan memberi panduan persediaan kepada koperasi terlibat untuk tindakan selanjutnya.

 

MAKLUMAT TAMBAHAN


SKM telah mengenalpasti terdapat 21 koperasi yang terlibat dalam aktiviti penternakan ayam. Daripada jumlah tersebut, KUKSOP telah mengadakan sesi libat urus bersama 11 koperasi penternakan ayam pada 12 Januari 2023. Sesi ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan balas koperator yang terlibat dalam industri ternakan ayam dan seterusnya membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan peluang-peluang mengembangkan industri ternakan ayam melalui gerakan koperasi dan juga isu-isu yang berkaitan.


KUSKOP selanjutnya sedang memperincikan kertas strategi pemerkasaan aktiviti ternakan ayam oleh gerakan koperasi untuk pembentangan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) sebagai antara usaha kementerian memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara melalui koperasi.

 





ISU PEMBUKAAN LEBIH BANYAK KEDAI KOPERASI: COOPMART


Tuan Yang di-Pertua,


Yang Berhormat Sungai Besar telah membangkitkan isu pembukaan kedai koperasi iaitu COOP Mart yang menawarkan harga barangan yang lebih murah daripada harga pasaran oleh pihak koperasi.


Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 2,581 Coopmart telah ditubuhkan di seluruh negara. Melalui rangkaian Coopmart ini, gerakan koperasi dapat menawarkan barangan keperluan kepada rakyat pada harga yang berpatutan di mana terdapat bekalan diperoleh secara terus daripada pengeluar seperti ayam dan sayuran.


Bagi tahun 2021-2022, rangkaian Coopmart juga telah terlibat dengan penganjuran Jualan Koperasi Prihatin Rakyat, Jualan Harga Patut Koperasi, Jualan Murah Keluarga Malaysia dan Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa dengan penjimatan harga di antara 15-20% daripada harga pasaran dengan nilai penjimatan harga mencecah RM9.28 juta.

 

Bermula pada Mac 2023, SKM melalui rangkaian Coopmart di daerah akan melaksanakan inisiatif jualan murah koperasi yang menawarkan insentif harga barangan keperluan asas harian sehingga 20% lebih murah daripada harga pasaran.


PENUTUP


Tuan Yang di-Pertua,


Setakat ini sahajalah penjelasan-penjelasan yang dapat saya berikan mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan Titah Diraja pada mesyuarat ini. Saya berharap penjelasan tersebut telah dapat menjawab semua soalan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat.


Marilah kita atas semangat Malaysia Madani, untuk bekerjasama menjunjung titah Tuanku bagi memacu pembangunan negara ke tahap yang lebih cemerlang. Percayalah, kami di KUSKOP akan menjalankan amanah ini dengan penuh komited dan bertanggungjawab serta seikhlas hati dalam memastikan ekosistem perniagaan negara terus kekal kompetitif dan lestari.


 

bottom of page