- Wartawan Nabalu News
Pengguna boleh salur aduan kerosakan jalan raya guna aplikasi MYJalan

22 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Orang ramai kini boleh menyalurkan maklumat mengenai kerosakan jalan raya melalui aplikasi MYJalan.
Aplikasi ini adalah sebahagian daripada kempen MYJalan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata aplikasi ini adalah sebuah platform aduan setempat yang membolehkan pengguna membuat aduan mengenai semua jenis jalan, sama ada yang diselenggara oleh Kementerian Kerja Raya atau tidak.
"Kempen MYJalan akan dilancarkan pada Khamis ini dan aplikasi MYJalan sudah ada dan boleh digunakan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2023 di Menara MATRADE di Kuala Lumpur pada hari ini.
Dalam majlis tersebut, Alexander turut menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani oleh BEM bersama beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dengan tujuan memastikan siswazah bidang kejuruteraan dapat terus berdaftar di bawah BEM setelah menamatkan pengajian.
"Beberapa MoU ditandatangani bersama institusi pengajian tinggi dan graduannya berpeluang untuk berdaftar serta-merta sebagai jurutera yang berdaftar kerana selalunya walaupun mereka sudah menamatkan pengajian akan mengambil masa bertahun untuk daftar. Dan kita tidak mahu mereka ini menjadi jurutera tanpa berdaftar. Itu tidak betul dari segi akta kita. Saya mengalu-alukan langkah ini yang sangat proaktif dan dapat membantu graduan," katanya.
Antara universiti yang terlibat ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Heriot-Watt University Malaysia, Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Multimedia University (MMU), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau juga berkata bahawa sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) BEM, semua universiti yang menandatangani MoU bersama BEM akan menerima sumbangan sebanyak RM10,000 setiap universiti untuk tempoh lima tahun bagi tujuan dianugerahkan kepada graduan kejuruteraan yang cemerlang pada majlis konvokesyen mereka dan anugerah itu dinamakan "BEM PRESIDENT AWARD".