• nabalunews

PENGGUNA PERLU PEKA ASPEK KESELAMATAN ELEKTRIK ELAK KEMALANGAN: SURUHANJAYA TENAGA

Updated: Apr 8


Jefrey bergambar kenangan selepas majlis penutupan Program TouchPoint 2020 di Matunggong di sini kelmarin

7 April 2021


MATUNGGONG: Pengguna perlu sentiasa peka terhadap aspek keselamatan elektrik di kediaman masing-masing bagi mengelak berlakunya kes-kes kemalangan.


Sehubungan itu, Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST) Pantai Barat Sabah, Jefrey Nuri berkata, pendawaian elektrik perlu dilaksanakan berpandukan kepada piawaian teknikal yang ditetapkan oleh ST.



Jefrey memeriksa Peranti Arus Baki (PAB) pada Papan Agihan di salah seorang pemilik rumah

"Bagi mengelakkan kes-kes kemalangan elektrik, Peranti Arus Baki (PAB) harus sentiasa diuji sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memastikan ia berfungsi memutuskan litar sekiranya terjadi kebocoran arus.


"Masyarakat juga perlu mengetahui kepentingan komponen PAB dalam sistem pendawaian elektrik yang mampu melindungi pengguna daripada renjatan elektrik sekiranya berlaku kebocoran arus atau litar pintas," katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan Program TouchPoint 2020 di Matunggong di sini, baru-baru ini.

 

Dalam program itu kira-kira 20 buah rumah sekitar daerah Matunggong telah dilakukan pemeriksaan dan pembaikan sistem pendawaian elektrik.


Jefrey menyampaikan cenderahati kepada wakil daripada Pejabat Daerah Matunggong

 

Menurut Jefrey, kajian yang dijalankan oleh ST mendapati kebanyakan kes kemalangan dan kebakaran yang berlaku berpunca daripada kecuaian pengguna yang tidak mengambil berat soal pendawaian elektrik yang selamat dan alat perlindungan yang sempurna.



“Justeru, ST mengambil inisiatif untuk menjayakan program-program kesedaran dan kemasyarakatan bagi meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai kepentingan PAB," katanya.


Katanya lagi, Suruhanjaya Tenaga meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memeriksa dan menambahbaik sistem pendawaian elektrik bagi 20 buah rumah lagi di sekitar Matunggong, Kota Marudu melalui program yang dinamakan sebagai Touchpoint.


Sebelum ini, ST turut melaksanakan pemeriksaan dan pembaikan sistem pendawaian elektrik bagi 56 buah rumah di sekitar Ranau dan Sipitang.

 

Katanya kerja-kerja pembaikan dijalankan tahun lepas, di mana sistem pendawaian yang rosak dan Peranti Arus Baki pada Papan Agihan (Distribution Board) rumah-rumah yang tidak menepati standard dibaiki dan diganti.

 

Program Touchpoint merupakan sebahagian dari usaha ST untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang keselamatan elektrik, di samping membantu golongan tidak berkemampuan memastikan pendawaian elektrik di premis yang mereka duduki berada dalam keadaan selamat.



ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com