Penghantaran pertama durian segar Malaysia tiba di China
26 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Penghantaran pertama bekalan durian segar Malaysia ke China selamat tiba di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou, semalam.
Ia adalah sebahagian daripada fasa pertama penghantaran raja buah itu yang membabitkan 40 tan metrik durian pelbagai jenis, termasuk Musang King, D24, IOI dan Black Thorn.
Penghantaran itu dibuat secara berperingkat, membabitkan 15 tan metrik yang sudah tiba di destinasi semalam, manakala 15 tan metrik lagi ke Zhengzhou dan 10 tan metrik ke Shenzhen yang dijangka tiba hari ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, pengeksportan pertama durian segar ke China itu adalah hasil pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China antara Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, dengan Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC), Yu Jianhua, 19 Jun lalu.
"Akses pasaran ini adalah perkembangan positif yang akan menyumbang kepada peningkatan nilai eksport sektor durian ke China di mana sebelum ini hanya durian dalam bentuk sejuk beku dibenarkan.
"Malah, kejayaan ini juga akan memberi peluang kepada usahawan durian tempatan untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi menerokai pasaran di China, seterusnya meningkatkan pendapatan mereka," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut KPKM, durian segar berkenaan akan terus diedarkan oleh 10 syarikat pengimport melalui outlet-outlet peruncitan mereka di enam wilayah membabitkan Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen dan Nanning.
"Prestasi eksport durian negara dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022 adalah menggalakkan, dengan nilai eksport durian ke luar negara berkembang sebanyak 256.3 peratus atau meningkat sebanyak RM822.8 juta.
"Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion, iaitu nilai tertinggi dalam sejarah hingga kini.
"Secara keseluruhan, durian adalah penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan bernilai RM2.01 bilion," katanya.
Terdahulu, Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan Gabenor Wilayah Henan, Wong Kai, dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa kejayaan pengeksportan durian ke China pada tahun ini akan membuka peluang kerjasama lebih luas membabitkan sektor pertanian pada masa depan.
"Ia juga adalah satu kejayaan bersejarah dalam menyambut ulang tahun 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China," menurut kenyataan itu lagi.
Pada pertemuan itu, Mohamad turut menjemput Wong Kai untuk menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 September depan.
"KPKM berharap pengeksportan durian segar yang bermula kini akan meningkatkan kerjasama perdagangan antara Malaysia dengan China.
"Pada masa sama, sejajar hubungan diplomatik yang mencecah 50 tahun, ia akan memupuk hubungan lebih mesra serta erat dalam bentuk budaya, pelancongan dan makanan melalui diplomasi durian antara kedua-dua negara selaras agenda Malaysia," katanya.
China adalah pasaran eksport utama durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada 2022 yang juga nilai tertinggi dalam sejarah pengeksportan durian ke negara itu.
Nilai eksport durian diunjur terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada 2030.
Comments