Pengiktirafan MRS kejayaan besar gabungan penggiat seni Sabah, Labuan

18 Jan 2022
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Penggiat seni di Sabah menyambut baik pengiktirafan kerajaan kepada Music Rights Sabah Berhad (MRS) sebagai badan pelesenan untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti.
Menurut mereka pemberian lesen kepada MRS sebagai wakil pemungut royalti penggiat seni hiburan di Sabah akan memberi harapan baharu kepada penggiat seni tempatan di negeri ini.
Penasihat II Persatuan Artis Tempatan Sabah (Pertisa) LP. Raphiel Pinus berkata, pengiktirafan itu akan meredakan kekecewaan dan mengatasi masalah yang dihadapi para pengkarya tempatan sebelum ini.

“Sejak sekian lamanya mereka merungut kerana merasa kurang mendapat layanan secara adil oleh pihak-pihak terlibat dalam pemungutan dan pengagihan royalti sedia ada.
“Saya percaya, MRS mampu melaksanakan peranannya selagi berpegang kepada objektif penubuhannya iaitu berdasarkan semangat untuk membela kebajikan artis-artis dan penggiat seni tempatan di Sabah.
“Pengiktirafan MRS untuk mewakili para artis mempertahankan hak dari segi royalti boleh disifatkan sebagai satu sejarah penting dalam arena seni tempatan.
“Sehubungan itu, adalah diharapkan para penggiat seni di Sabah termasuk ahli-ahli Pertisa memanfaatkan MRS dengan mendaftarkan karya mereka kepada badan itu.
“Ini penting supaya mereka tidak terkecuali daripada menerima faedah dan mengelakkan daripada terus berasa terpinggir,” katanya kepada Nabalu News.
LP. Raphiel yang juga penyanyi, penulis lirik, komposer dan penyampai radio berharap semua pihak memberi kerjasama kepada MRS dalam melaksanakan tanggungjawabnya memandangkan sokongan yang diberi secara tidak langsung mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak.
“Saya mengucapkan tahniah kepada MRS dan berbangga dengan usaha dilakukan semua yang terlibat dalam menjayakan penubuhan badan ini terutamanya komitmen berterusan oleh artis Asmin Mudin (Pengerusi dan Pengarah Urusan MRS) dan ahli-ahli jawatankuasanya kerana untuk sampai sehingga ke tahap ini tentunya mengambil masa yang lama dan memerlukan banyak pengorbanan,” katanya.
Sementara itu Artis Popular Rosario Bianis berkata, ini satu permulaan yang baik.

“Pengiktirafan MRS sebagai badan pemungut royalti di Sabah pastinya akan memberi banyak perubahan kepada isu pembayaran royalti kepada pemuzik tempatan di Sabah yang tidak munasabah dan merugikan pemuzik-pemuzik tempatan.
“Ini satu permulaan yang baik setelah sekian lama para penggiat muzik berjuang untuk mendapat bayaran royalti yang setimpal seperti di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, saya berharap agar rakan-rakan artis dan penggiat seni di Sabah lebih peka dengan syarat dan keperluan yang perlu dipenuhi bagi membolehkan mereka layak menerima royalti daripada hasil seni mereka,” katanya.
Bagi Pensyarah Muzik dan penyanyi yang tidak asing lagi di Sabah Andrew Peninting, beliau bersyukur kerana akhirnya kerajaan mengiktiraf sebuah badan perlesenan untuk mengutip royalti lagu-lagu khusus untuk penggiat seni tempatan di Sabah.

“Inilah yang kita tunggu-tunggu selama ini dan syukur kini ada badan perlesenan untuk memungut royalti lagu-lagu khas untuk artis tempatan,” katanya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Apai berkata, dengan adanya badan perlesenan ini, harta intelek penggiat seni lebih terjaga dan dapat menggalakkan penciptaan lebih banyak karya-karya tempatan yang lebih berkualiti.
“Ini juga akan memberi semangat kepada artis-artis tempatan untuk memperbanyakkan lagu-lagu etnik yang lebih berkualiti seterusnya mengangkat lagu-lagu kita ke peringkat lebih tinggi. Secara tidak langsung menggalakkan penggunaan atau pertuturan bahasa ibunda kita,” katanya.
Apai yang juga ahli MACP, MRS dan SCORE berharap sistem pungutan royaliti lebih telus dan komprehensif.
“Dengan adanya badan perlesenan sendiri akan memberi sinar baru, semangat dan merancakkan lagi industri seni di Sabah.
“Seni dan muzik bukan sekadar hiburan tetapi ia suatu perniagaan. Ini adalah ‘periuk nasi’ bagi sesetengah artis yang bergiat sepenuh masa dalam bidang ini.
“Sebab itu kita perlukan sokongan semua pihak. Jangan anggap ia (bayaran) membebankan sebab perlu membayar artis yang membuat persembahan. Kerjasama semua pihak penting untuk membangunkan industri seni di Sabah,” katanya.
Sementara itu Joanes Robert Johnny atau lebih dikenali sebagai Ateng, penyanyi tempatan yang popular dengan lagu ‘Norubat Piginawaan’ berkata, pengiktirafan MRS sebagai badan pemungut royalti kegiatan seni di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan satu kejayaan besar kepada gabungan penggiat seni di Sabah dan Labuan, termasuk Sarawak.

“Dengan adanya MRS sebagai badan sah memungut royalti khas kepada lagu-lagu dan karya di Sabah, maka semua penggiat seni berpeluang mendapat manfaat atau faedah sebagai pencipta lagu dan lirik, pemuzik dan penyanyi, tanpa perlu berdaftar dengan mana-mana entiti berkaitan, yang semuanya bertapak di Semenanjung Malaysia.
“Syabas dan tahniah kepada SCORE diketuai Asmin Mudin, sebagai pertubuhan bertanggungjawab berusaha mendaftarkan MRS sehinggalah menjadi kenyataan,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian mengiktiraf Music Rights Sabah Berhad (MRS) sebagai badan pelesenan bagi menjalankan aktiviti kutipan royalti penggiat seni muzik tempatan di Sabah berkuat kuasa 7 Januari lepas.
MRS akan menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikinan video muzik dan syarikat rakaman tempatan melibatkan etnik tempatan Sabah.
Penubuhan dan pengiktirafan MRS sebagai badan pelesenan antara lain akan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya dalam menguruskan hak royalti di samping menjaga kebajikan mereka dalam industri muzik. Antara ahli bernaung di bawah badan ini ialah pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman.
Nanta berkata, MRS merupakan badan pelesenan ketujuh diisytihar Pegawal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang diberi kuasa mengutip royalti muzik dan mengeluarkan lesen penggunaan muzik di khalayak umum khususnya di Sabah.
Enam yang lain sebelum ini ialah Music Authors Copyright Protection Berhad (MACP), Public Performance Berhad (PPM), Recording Performers Berhad (RPM), MPLC Sdn Bhd, Malaysia Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC) dan Music Right (Sarawak) Berhad, katanya.
Comments