PENGLIBATAN NGO DIALU-ALUKAN BANTU PENDUDUK TERJEJAS COVID-19
- Wartawan Nabalu News
- Jan 24, 2021
- 1 min read

24 Jan 2021
TAMPARULI: Penglibatan lebih ramai badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat korporat menghulurkan sumbangan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat Covid-19 amat dialu-alukan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, ini kerana ramai penduduk terkesan akibat pandemik Covid-19 termasuk mereka yang dikuarantin dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Justeru, peranan pihak NGO dan syarikat korporat dalam menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada golongan tersebut amat dialu-alukan selain bantuan kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan bantuan bakul makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Sukarelawan Love Angel Sabah di perkarangan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, sini, hari ini.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah, Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Setiausaha Perhubungan Awam KPLB Sabah, Romeo Sindeh, dan Pegawai Kerja Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Joanna Sinteh
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli turut merakamkan penghargaan kepada Love Angel Sabah dan semua sukarelawan yang terlibat menyampaikan sumbangan itu.
"Kita berharap semoga wabak Covid-19 akan berlalu dan seluruh rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Love Angel Sabah, Wong Pau Nyuk berkata, sebanyak 120 bakul makanan disumbangkan kepada sebanyak lima buah kampung yang menerima kesan akibat Covid-19.
"Kita amat memahami keperluan penduduk yang mengalami kesukaran untuk keluar dari rumah kerana arahan PKP," katanya.


















Comments