Pengorbanan dan Jasa Warga Emas Perlu Dihargai oleh Generasi Muda
- nabalunews
- Nov 10, 2024
- 2 min read

9 November 2024
KENINGAU: Pengorbanan serta jasa ibu bapa yang kini bergelar 'warga emas' harus dihargai dan diberi penghormatan oleh generasi muda masa kini.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik @ Nordin, berkata warga emas telah banyak berkorban dan menyumbang dalam masyarakat, selain membesarkan anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang dan dedikasi.
"Warga emas merupakan individu yang banyak berjasa, dan mereka telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan untuk memastikan masa depan yang lebih baik bagi anak-anak, cucu-cucu, serta masyarakat.
"Kita kini dapat berdiri teguh di atas asas yang telah mereka bina melalui kegigihan, kesabaran, dan dedikasi," katanya semasa berucap di Majlis 'Sodop Tama Om Tapa', sempena Program Jiwa Komuniti Madani untuk warga emas yang diadakan di Dewan Pisompuruan, Kampung Merampong, di sini, baru-baru ini.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, menegaskan bahawa tanpa usaha dan pengorbanan yang dilakukan oleh warga emas pada suatu masa dahulu, generasi sekarang tidak akan menikmati kemajuan dan kehidupan yang ada pada hari ini.
"Mereka bukan sahaja mewariskan apa yang kita nikmati sekarang, tetapi juga meletakkan asas yang kukuh untuk kita berpijak. Asas ini harus dipelihara dan dijaga agar dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang," jelasnya.
Mengenai Majlis 'Sodop Tama Om Tapa' yang bermaksud Malam Ibu dan Bapa, Robert berkata majlis tersebut diadakan khusus untuk meraikan warga emas yang telah banyak memberi sumbangan tidak ternilai kepada masyarakat dan negara.
"Bagi semua Tama Om Tapa, jasa kalian tidak akan dilupakan. Kita pastikan mereka dihormati dan dijaga dengan penuh kasih sayang," tambahnya.
Pada masa yang sama, Robert mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa pelaksana yang telah merancang dan menganjurkan majlis tersebut, terutamanya kepada Jabatan Penerangan Daerah Keningau, Komuniti Jiwa Madani Kampung Merampong, serta pemimpin setempat dan semua yang terlibat dalam menjayakan acara ini.
Sempena majlis tersebut, Robert turut menyerahkan sumbangan bakul makanan sebagai tanda penghargaan kepada warga emas yang diraikan.


















Comments