PENGORBANAN GURU MASUK KAMPUNG HANTAR KERTAS SOALAN PELAJAR STPM
27 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
TAMPARULI: Seorang guru SMK Tun Fuad Stephens Kiulu, di sini, sesat ketika mencari kampung pelajarnya semata-mata ingin menghantar kertas soalan dan canvas lukisan bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual Tingkatan 6 Atas.
“Apabila sampai di kawasan Kampung Tiong, kami tidak dapat menghubungi mereka (pelajar) untuk mengetahui lokasi sebenar rumah mereka, kerana tiada rangkaian telefon.
“Kami berpatah balik mencari kawasan yang lebih tinggi untuk mendapatkan ‘line’, baru dapat lokasi sebenar,” kata Seidi Atiman @ Saidina, guru Pendidikan Seni Visual Tingkatan 6, SMK Tun Fuad Stephens Kiulu.
Atas bantuan ‘google map’ dan maklumat yang diberikan oleh anak muridnya, akhirnya beliau selamat sampai ke rumah pelajar berkenaan.
Empat pelajar dari Kampung Tiong Ratau dan Kg. Tiong Gondohon, Britney Brenda Joannes, Jessica Suani, Christie Sombing dan Chris Engeley Ah Kiau yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) awal tahun depan menghadapi masalah kenderaan untuk datang ke sekolah mengambil kertas soalan dan bahan-bahan seni visual.
“Sebab itu, atas inisiatif sendiri, saya menghantar canvas atau bahan-bahan seni visual untuk projek semester 3 Tingkatan 6 Atas kepada mereka.
“Saya juga mengambil peluang untuk memberikan demo kepada keempat-empat pelajar saya supaya mereka tahu teknik dan cara penggunaan warna yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Nabalu News.
Selain melawat pelajar di Kg.Tiong Ratau, Seidi turut melawat anak didiknya yang lain di beberapa kampung berdekatan untuk melihat sendiri keadaan dan liputan internet di kampung pelajar berkenaan.
“Capaian internet di kawasan ini memang agak lemah dan inilah antara cabaran pelajar luar bandar untuk mengikuti kelas online kerana masalah ‘line’ telefon.
“Tujuan lawatan di kampung ini juga disebabkan, kampung ini adalah salah satu kawasan yang ramai pelajar bersekolah di SMK Tun Fuad Stephens Kiulu, jadi sambil melawat pelajar, kami mengetahui sendiri kesukaran mereka belajar secara online,” katanya.
Seidi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Saidina berkata, walaupun capaian internet di kampung pelajar berkenaan kurang memuaskan namun beliau melihat semangat dan kesungguhan empat pelajar wanita itu untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Mereka ada kesungguhan untuk belajar, sebab itu saya melawat kampung mereka untuk menghantar canvas bagi membolehkan mereka menyiapkan Projek Semester 3 mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Saya berharap agar mereka lulus dalam peperiksaan STPM,” katanya yang juga seorang pensyarah seni visual di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Comentários