top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pengumuman imbuhan penjawat awam dalam tempoh dua minggu - Anwar

24 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa kerajaan akan mengumumkan imbuhan kepada golongan penjawat awam termasuk warga pendidik dalam tempoh dua minggu lagi.


Beliau berkata, imbuhan itu adalah hasil daripada kajian yang dibuat selama beberapa bulan, tetapi ia tertangguh kerana belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.


Jelas Anwar, pengumuman itu akan dibuat sementara menunggu pelarasan gaji penjawat awam yang dijangka selesai dalam tempoh lima hingga enam bulan.


"Saya akan mempengerusikan pengurusan mesyuarat pertama pelarasan skim gaji itu pada minggu depan. Pendekatan skim pelarasan gaji yang lama perlu dirombak. Jadi, tunggu pengumuman dan sedikit penyesuaian dalam tempoh masa seminggu sehingga dua minggu lagi," katanya.


Beliau berucap pada program Cakna Madani Perdana Menteri bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Kementerian Pendidikan di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini kelmarin.


Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.


Anwar juga memberitahu, beliau berhasrat untuk menyeragamkan gaji antara guru dan penjawat awam supaya kadarnya munasabah.


Katanya, pelarasan itu juga akan dibuat selepas melihat negara-negara lain yang mempunyai taraf kedudukan ekonomi yang sama dengan Malaysia.


"Selain itu, kerajaan akan membuat penyusunan semula skim gaji penjawat awam. Pelarasan itu boleh dianggap drastik kerana ia dilakukan secara menyeluruh," ujarnya.

Comentarios


bottom of page