Pengumuman PM Dijangka Beri Manfaat Besar kepada Rakyat Luar Bandar: Pemuda UPKO
- nabalunews
- Jul 23, 2025
- 2 min read

23 Julai 2025
TELUPID: Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang menyambut baik dan merakamkan penghargaan atas pengumuman beberapa inisiatif penting oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, insiatif itu dijangka membawa manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar termasuk Beluran.
Katanya, antara pengumuman utama yang menjadi tumpuan rakyat ialah pemberian sumbangan tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas dan penurunan kadar bil elektrik bagi pengguna.
“Perdana Menteri turut mengisytiharkan cuti umum sempena sambutan Hari Malaysia, serta perluasan Program Jualan Rahmah ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman.
“Pengumuman ini bukti jelas komitmen kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk mendahulukan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang, terutama golongan B40 dan M40 yang terus berhadapan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Felix berkata, selaku pimpinan masyarakat luar bandar, beliau menyambut baik inisiatif ini dan percaya ia akan membawa kelegaan kepada ramai penduduk di Sabah khususnya komuniti kecil di daerah seperti Telupid yang selama ini masih kurang mendapat akses kepada program bersubsidi kerajaan.
Katanya, sumbangan tunai RM100 mungkin kelihatan kecil di atas kertas, namun bagi ramai keluarga berpendapatan rendah di luar bandar, ia mampu membantu menampung keperluan asas seperti makanan, susu anak atau minyak kenderaan untuk sebulan.
“Penurunan kadar bil elektrik pula dilihat sebagai langkah bijak dalam memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan caj utiliti yang semakin meningkat.
“Langkah ini diyakini akan memberi impak besar kepada pengguna di kawasan luar bandar yang sebelum ini tidak menikmati kadar elektrik yang stabil atau murah.
Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran turut menyambut baik pengumuman cuti umum pada Hari Malaysia sebagai simbol penyatuan dan penghargaan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang sering merasakan tarikh keramat 16 September kurang diberi perhatian sebelum ini.
Selain itu katanya, pelaksanaan Program Jualan Rahmah yang diperluas ke seluruh negara termasuk ke kawasan pedalaman merupakan langkah yang amat wajar.
“Program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos belanja harian rakyat, malah meningkatkan kehadiran kerajaan di lapangan yang selama ini ditagih oleh rakyat.
“UPKO Bahagian Beluran khusus sekali kawasan daerah Telupid, bersedia memainkan peranan sebagai rakan pelaksana di peringkat akar umbi, termasuk membantu mempromosikan dan mengkoordinasikan Program Jualan Rahmah agar sampai ke kampung-kampung terpencil dan bukan hanya tertumpu di kawasan bandar.
Felix berkata, dengan pelbagai cabaran semasa termasuk ketidaktentuan ekonomi global, UPKO Telupid menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan berfokus rakyat ini akan terus dikembangkan oleh kepimpinan negara demi memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam arus pembangunan negara.















Comments