top of page
nabalunews

PENGUSAHA BOT SEMPORNA UBAH STRATEGI DEMI KELANGSUNGAN HIDUP


gambar hiasan

15 Feb 2021


SEMPORNA: Pengusaha bot tambang di Pulau Bum Bum dekat sini mengubah strategi perkhidmatan dengan melaksanakan sistem penggiliran bot bagi kelangsungan pendapatan dan hidup mereka yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), susulan pandemik COVID-19.


Pengerusi Persatuan Pengusaha Bot Sewa Balimbang Semporna Nasir Abu Bakar berkata inisiatif itu dipersetujui oleh 75 pengusaha bot penumpang yang dianggap amat bertepatan ketika rata-rata pihak tertjejas akibat penularan pandemik itu.


"Kita (pengusaha bot) terkesan dengan PKP, COVID-19, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan penumpang bot berkurangan, jadi kita cuba faham dan sebab itu kita lakukan konsep penggiliran bot agar semua ada pendapatan sama," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, 75 pengusaha bot berkenaan dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap kumpulan akan dijadualkan bertugas selama dua hari sebelum digilirkan dengan kumpulan berikut.


"Usaha ini membolehkan bot-bot ini mendapat penumpang lebih cepat dan setiap pengusaha bot itu sekurang-kurangnya mendapat 20 trip perjalanan sehari dari Jeti Balimbang ke Pekan Semporna atau sebaliknya.


"Khidmat bot ketika PKP ini tertakluk dengan SOP termasuk hanya 50 peratus daripada kapasiti penuh (12 penumpang) bot dibenarkan dalam satu-satu masa," katanya menambah caj tambang sehala bagi seorang hanya RM2.


Menurutnya, pengusaha juga berdepan kekangan mendapatkan pelanggan apabila tempoh perkhidmatan bot disingkatkan mulai 6 pagi sehingga 2 petang berbanding sehingga 6 petang.

Menurut Nasir pengusaha bot antara golongan yang terjejas pendapatan ekoran pandemik COVID-19 kerana sebelum ini, setiap kali cuti perayaan ramai penduduk Pulau Bum Bum yang bekerja di luar daerah pulang ke kampung dan sekali gus menyumbang trip perjalanan tinggi.


"Mulai tahun lepas sehingga kini, perkhidmatan bot tambang terjejas kerana kurang trip, penduduk di pulau pun mengehadkan pergerakan ke pekan," katanya kos minyak bot tambang sehari bagi enjin 40hp ialah sebanyak RM100.


Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi sekali lagi bantuan kewangan RM300 kepada pengusaha bot yang terjejas dengan pelaksanaan PKP kali kedua ini. - Bernama


Comments


bottom of page