top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pengusaha inap desa rayu kerajaan naik taraf jalan


Antara jalan menuju ke produk tarikan pelancongan Misompuru Homestay Kudat.

28 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUDAT: Pengusaha inap desa di negeri ini merayu kepada kerajaan supaya menyelenggara atau menaiktaraf jalan raya ke pusat-pusat tumpuan pelancong.


Penyelaras Misompuru Homestay Kudat Datuk Cobra Jeffry Ayah berkata, ini penting bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk kampung tetapi juga memberikan imej yang baik kepada industri pelancongan di Sabah.


Beliau mengakui kebanyakan jalan pelancongan di kawasan luar bandar masih dalam keadaan kurang memuaskan walaupun kawasan itu menjadi antara tumpuan pelancong.


Datuk Cobra Jeffry Ayah

“Misalnya jalan raya menuju ke rumah-rumah homestay dan kawasan produk pelancongan Misompuru Homestay Kudat masih belum dinaiktaraf walaupun inap desa itu telah mengharumkan nama negara di peringkat dunia.


“Hanya ditabur batu sahaja. Saya difahamkan ini bukan di bawah Kementerian Pelancongan tetapi di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR). Oleh itu saya berharap pihak berkenaan dapat memberikan pertimbangan kelulusan penaiktarafan jalan-jalan pelancongan,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Jeffry yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia dan Penasihat Persatuan Homestay Sabah

kecewa kerana permohonan menaiktaraf jalan-jalan kampung di kawasan Misompuru Homestay Kudat tidak mendapat maklumbalas positif.


“Kita tidak mahu jalan itu setakat ditabur batu sekali setahun atau sekali dalam dua tahun tetapi kita mahu jalan itu dinaiktaraf untuk keselesaan penduduk dan pelancong,” katanya.


Antara jalan raya menuju ke rumah Pengusaha Homestay, Misompuru Homestay Kudat.

Beliau berkata, pelancong luar negara memuji keindahan alam semulajadi di Sabah tetapi mereka mengeluh keadaan jalan raya agak teruk.


“Kami sebenarnya sudah beberapa kali memohon penaiktarafan jalan kampung menuju ke kawasan rumah pengusaha homestay dan produk pelancongan tetapi sehingga kini tiada jawapan.


“Mungkin ada yang berpendapat, kami tidak perlu peruntukan sebab mempunyai pendapatan tahunan jutaan ringgit. Tetapi mereka harus ingat pendapatan itu semuanya diagihkan kepada para pengusaha homestay dan penduduk kampung kerana itu adalah gaji (pendapatan) mereka,” katanya.


Jeffry berkata, peruntukan untuk membaiki kemudahan infrastruktur terutamanya jalan raya adalah tanggungjawab kerajaan.



bottom of page