top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pengusaha inap desa minta kerajaan tambah bantuan khas bantu inap desa terjejas



1 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Homestay menghargai bantuan yang diberikan kerajaan kepada para pengusaha inap desa di negara ini.


Bagaimanapun Naib Presiden Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia yang juga Penasihat Persatuan Homestay Sabah Datuk Cobra Jeffry Ayah berpendapat, bantuan khas inap desa itu perlu ditambah.


Beliau berkata, ini kerana bantuan itu bukan sahaja untuk individu atau pengusaha inap desa itu sendiri tetapi untuk produk-produk pelancongan di kawasan inap desa berkenaan.


“Bantuan khas inap desa itu perlu ditingkatkan lagi memandangkan ianya bukan sahaja merujuk kepada individu atau pengusaha inap desa itu sendiri tetapi juga mengambil kira kepada produk-produk pelancongan inap desa mereka.


“Premis inap desa mereka juga terjejas akibat tiada pendapatan selama pandemik Covid-19 melanda negara dan sempadan negara ditutup untuk pelancong antarabangsa hingga ke hari ini,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peruntukan RM85 juta untuk lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).


Permohonan bantuan kewangan tahun 2022 itu kini dibuka sehingga 15 Mac ini.


Jeffry yang juga Penyelaras Misompuru Homestay Kudat berkata, walaupun pengusaha inap desa hanya diperuntukkan RM1,800 namun mereka tetap bersyukur dengan bantuan khas itu.


Beliau berharap inisiatif itu dapat membantu pengusaha inap desa memulihkan semula sektor pelancongan mereka.


“Saya juga berharap agar para pengusaha inap desa di Sabah yang berdaftar dengan Motac supaya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan itu,” katanya


Menurut kenyataan MOTAC, syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan (TOBTAB) dan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) akan dibayar RM9,000; pengusaha spa dan pusat urutan kaki (RM3,000); pemandu pelancong (RM1,500) dan pengusaha inap desa, RM1,800.


Bayaran-bayaran itu akan dilaksanakan sebanyak dua kali mulai Mac dan Mei 2022. Bantuan kewangan tahun 2022 itu adalah untuk membantu sektor pelancongan yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19.

bottom of page