top of page

Pengusaha kedai kopi digesa pamer tanda harga elak kekeliruan pengguna

Wartawan Nabalu News

5 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU : Pengusaha kedai kopi harus mempamerkan tanda harga makanan dan minuman yang baharu bagi mengelak kekeliruan pengguna ketika membayar bil berikutan kenaikan harga makanan baru-baru ini.


Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan berkata, ramai pengguna mengadu harga minuman seperti Kopi O yang dikenakan oleh pengusaha kedai kopi berbeza iaitu antara RM1.40 hingga RM2.50.


Beliau berkata, pengusaha kedai makan yang tidak mempamerkan tanda harga boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Kawalan Harga Pengguna.


“Ramai pengguna mengadu kepada saya bahawa harga Kopi O antara RM1.40 hingga RM2.50. Harga yang tidak menentu mengelirukan pengguna.


“Saya juga berharap para pengusaha kedai kopi atau kedai makan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan secara melampau sehingga membebankan pengguna,” katanya, di sini, hari ini.


Berikutan kenaikan harga beberapa jenis barangan keperluan di pasaran, David turut menggesa para peniaga mempamerkan tanda harga yang jelas bagi memudahkan para pengguna membuat pilihan.


“Apa yang berlaku sekarang ialah sesetengah peniaga tidak memaparkan tanda harga sehingga mengelirukan pengguna.


“Tanda harga yang mengelirukan boleh menimbulkan kemarahan para pelanggan ketika membuat pembayaran dan ada kalanya pertengkaran antara penjual dan pembeli,” katanya.


Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkuasa tempatan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan mengejut premis-premis perniagaan.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page