- nabalunews
Peniaga buah maut terkena renjatan elektrik
20 Ogos 2024
KOTA BELUD: Seorang peniaga buah-buahan maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Polumpung Malangkap, Jalan Kota Belud – Ranau Bypass, petang tadi.
Mangsa Latihim Baling Kok, 67, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Belud.
Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketika kejadian berlaku angin kencang dan khemah mangsa diterbangkan.
“Ketika itu, khemah mangsa diterbangkan angin kencang lalu terkena wayar elektrik hingga mangsa turut terkena renjatan elektrik.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 2.39 petang.
Katanya, kebakaran membabitkan sebuah gerai menjual buah-buah termasuk durian terbakar sepenuhnya.
“Terdapat seorang mangsa terkena renjatan elektrik dihantar ke Hospital Kota Belud oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman seterusnya melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 3.32 petang.
Commentaires