PENIAGA DOBI LAYAN DIRI LEGA DIBENARKAN BEROPERASI SEPANJANG PKP2.0
15 JAN 2021
OLEH ERDIEHAZZUAN AB WAHID
KOTA KINABALU: Peniaga kedai dobi layan diri di daerah ini lega apabila kerajaan membenarkan operasi perniagaan dibuka dengan bersyarat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Sabah sejak Rabu lalu.
Meskipun mengakui ada peniaga yang terjejas sumber pendapatan pada PKP 1.0 Mac lalu namun mereka tetap mengikut Prosedur Operasi Standarad (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan sebelum ini.
Bagi pemilik Kedai Dobi The Wash Azizan Amjah berkata, keputusan membenarkan perniagaan dobi layan diri dibuka sepanjang tempoh PKP 2.0 di negeri ini sememangnya dinantikan.
Katanya, walaupun perlu mengikut SOP yang ditetapkan, dia tidak menghadapi masalah berbuat demikian selepas terpaksa menutup perniagaan selama hampir dua bulan pada Mac lalu dalam usaha menyekat penularan Covid-19.
“Syukur selepas PKP 1.0 yang lalu, sumber pendapatan kami mula berhasil dan dalam tempoh itu sehingga kini, kami sentiasa mematuhi prosedur SOP yang ditetapkan kerajaan termasuk menyediakan pengimbas suhu, MySejahtera dan cecair pembasmi kuman.
“Namun apabila diumumkan terpaksa ditutup sekali lagi Rabu lalu apabila PKP 2.0 dilaksanakan, saya akui risau tetapi bersyukur dapat beroperasi semula hari ini,”katanya ketika ditemui di kedai dobi layan diri miliknya petang tadi.
Azizan berkata, dia turut akur apabila hanya dapat beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam berbanding sebelum ini sehingga 10 malam.
“Syukur, perniagaan yang saya jalankan bersama adik saya Azfar Amjah ini sudah beroperasi hampir tiga tahun dan mempunyai tiga cawangan di lokasi berbeza,”katanya.
Sementara itu, bagi pemilik Kedai Dobi Dobiku, Wong Tuck Meng turut mengakui pendapatannya terjejas sepanjang tempoh PKP 1.0 yang lalu dan gembira kerana dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 2.0 kali ini.
“Kedai dobi layan diri ini adalah satu keperluan untuk orang ramai dan kedai ini juga adalah yang dilihat selamat untuk datang kerana kebiasaan pelanggan tidak akan menunggu dikedai berbanding sektor perniagaan lain.
“Walaubagaimanapun, saya sentiasa memastikan para pelanggan yang datang mematuhi SOP bagi memastikan Covid-19 ini dapat diputuskan,”katanya.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Kedai dobi layan diri dibenarkan beroperasi dengan syarat pemilik kedai itu meletakkan seorang pekerja untuk mengawal dan mengawasi pematuhan SOP pelanggan mereka.
Katanya, kebenaran itu diberikan sebagai mendengar keluhan rakyat terutama golongan bujang untuk menggunakan perkhidmatan itu apatah lagi pada musim hujan ketika ini.
Beliau berkata, waktu operasi yang dibenarkan adalah sama seperti premis-premis lain yang dibenarkan beroperasi iaitu dari pukul 6 pagi hingga 8 malam.
Comments