top of page
Wartawan Nabalu News

PENINGKATAN KES COVID DI SABAH HASIL SARINGAN KLUSTER, KONTAK RAPAT




17 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Peningkatan mendedak kes positif baharu Covid-19 di Sabah daripada 326 kes yang direkodkan kelmarin (16 Julai) kepada 647 kes hari ini dipengaruhi hasil saringan kluster dan saringan kontak rapat.


Satu kes kematian turut dilaporkan hari ini iaitu di Lahad Datu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu 287 kes adalah daripada saringan kluster, saringan kontak rapat (220 kes), saringan bersasar (63 kes), saringan bergejala (47 kes) dan lain-lain saringan sebanyak 40 kes.


“Daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan jumlah kes baharu sebanyak 312 kes pada hari ini. Daripada jumlah itu Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan) menyumbang 204 kes.


“Jumlah lokaliti PKPD juga meningkat dari 15 lokaliti kepada 16 lokaliti pada hari ini yang meliputi Taman-taman, Apartmen dan kampung sekitar Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Masidi berkata, dari segi jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh, pada hari ini 199 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif 70,957 orang.


“Seramai 2,776 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 442 orang di hospital, 1,700 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 634 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 54 orang dan sembilan orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Comments


bottom of page